Menjunjung Titah Raja
Merupakan sebahagian daripada “Mukadimah” teks Sulalatus Salatin. Bahagian ini menceritakan tentang Sultan Abdullah Ma’ayah Syah Ibn Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Syah, iaitu Yang Dipertuan di hilir ketika itu. Baginda bertitah tentang sebuah Hikayat Melayu yang dibawa dari Goa. Baginda meminta agar hikayat itu diperbaiki “supaya diketahui semua anak cucunya”. Titah baginda telah diterima oleh Bendahara Paduka Raja Tun Muhammad atau nama timangannya Tun Seri Lanang. Hikayat yang diperbaiki itu diberi nama oleh Tun Seri Lanang sebagai Sulalatus Salatin iaitu “Pertuturan Segala Raja-Raja”.
Penaklukan Iskandar Zul-karnain
Raja Iskandar ialah putera Raja Darab. Baginda berbangsa Rom dan berasal dari Makadunia (Macedonia). Baginda mengembara untuk “melihat negeri matahari terbit”, telah menyebabkan baginda sampai ke negeri Hindi yang diperintah oleh raja Kida Hindi. Baginda telah menyerang dan berjaya menakluki negeri tersebut, serta disuruh memeluk agama Islam. Raja Iskandar kemudiannya berkahwin dengan Syahrul Bariah puteri Raja Kida Hindi.
Perkahwinan Puteri Syahrul Bariah
Raja Iskandar dan Puteri Syahrul Bariah telah dinikahkan oleh Nabi Khidir a.s. Majlis perkahwinan itu berlangsung dengan penuh gilang gemilang dan telah dihadiri oleh para pemerintah dan pembesar yang menaburkan hadiah emas permata begitu banyak seperti “busut dua tiga timbunan”. Tidak lama kemudian, raja Iskandar meneruskan perjalanan dan pengembaraannya. Isterinya ditinggalkan di Hindi atas permintaan Raja Kida Hindi.
Zuriat Iskanar Zul-karnain
Puteri Syahrul Bariah melahirkan seorang putera yang diberi nama Raja Aristun Syah. Baginda kemudiannya dikahwinkan dengan Puteri Raja Turkistan dan dikurniakan seorang putera yang diberi nama Raja Aftus. Raja Aristun Syah menaiki takhta kerajaan setelah kemangkatan Raja Kida Hindi dan memerintah negeri Hindi selama 350 tahun. Keturunan baginda memerintah negeri Kida Hindi sehingga sampai kepada Raja Tersi Berderas. Raja Tersi Berderas berkahwin dengan anak raja Sulan, raja negeri Amdan Negara yang dikatakan sebagai anak cucu “Raja Nusyirwan Adil”. Hasil perkahwinan tersebut, baginda telah dikurniakan dengan tiga orang putera, iaitu Raja Hiran, Raja Suran dan Raja Fardin.
Perjalanan hendak menakluk negeri China
Raja Suran menaiki takhta selepas kemangkatan Raja Sulan. Baginda berhasrat menyerang dan menakluk negeri China. Dalam perjalanan, Raja Suran telah menyerang dan menakluki negeri Gangga Negara yang diperintah oleh Raja Gangga Shah Johan. Kemudian Raja Suran menakluki negeri Langgiu yang diperintah oleh Raja Chulan. Hasrat Raja Suran untuk menakluki negeri China telah dibatalkan kerana kebijaksanaan raja China . Raja China telah membuat muslihat (helah) dengan menghantar sebuah pilu/pilau (sejenis kapal) yang diisi dengan orang tua yang tanggal gigi, jarum seni yang berkarat, dan pohon kayu kesmak dan bidara yang berbuah.
Hendak mengetahui isi Laut
Raja Suran mengalihkan pandangan untuk melihat dan mengetahui isi laut. Justeru itu, baginda telah menempa “sebuah peti kaca berkunci dan berpesawat dari dalam” daripada seorang tukang. Dengan menaki peti kaca tersebut, Raja Suran turun ke laut dan jatuh ke bumi bernama Dika yang diperintah oleh Raja Aktabul Ard. Negeri Dika didiami oleh kaum Bu Sum yang sebahagiannya beragama Islam dan sebahagiannya kafir.
Zuriat Raja Suran
Raja Akhtabul Ard mengahwinkan anaknya tuan puteri Mahtabul Bahri dengan Raja Suran. Hasil perkahwinan tersebut, baginda dikurniakan dengan tiga orang putera, iaitu Nila Pahlawan, Nila Krishna Pandita dan Nila Utama. Raja Suran menitahkan Raja Jin Asmaghiah Peri membuat tiga biji mahkota. Setelah mahkota itu siap, Raja Suran mewasiatkan mahkota tersebut kepada Raja Akhtabul Ard, supaya diberikan kepada ketiga-tiga orang puteranya. Kemudian Raja Suran naik ke darat dan kembali ke benua Keling. Baginda telah membuat kota di sana dan diberi nama Bijaya Negara.
Sulalatus Salatin Bab II
Kisah Bermula di Bukit Si Guntang
Terdapat sebuah negeri di tanah Andalus yang bernama Palembang. di bawah perintah raja Demang Lebar Daun, iaitu keturunan anak cucu raja Sulan. Di negeri Palembang, terdapat sebuah bukit yang bernama Bukit Seguntang. Di sana, tinggal dua orang gadis dua beradik, iaitu Wan Empuk dan Wan Malini yang berhuma padi. Atas wasiat raja Suran, ketiga-tiga orang puteranya telah dihantar ke dunia oleh raja Akhbabul Ard. Mereka diberi memakai alat kerajaan yang selengkapnya keluar dari negeri Dika dengan menunggang seekor lembu putih. Mereka mendarat di Bukit seguntang pada waktu malam. Ketika mendarat di sana, suatu keanehan berlaku. Padi yang ditanam oleh Wan Empuk dan Wan Malini berbuahkan emas, berdaunkan perak dan berbatangkan suasa. Manakala tanah negara bukit itu menjadi seperti warna keemas-emasan. Demang Lebar Daun yang mendapat perkhabaran tersebut telah berangkat ke rumah Wan Empuk dan Wan Malini. Ketiga-tiga putera raja Suran dibawa ke negeri Palembang dengan menaiki lembu putih. Dengan takdir Allah, lembu kenaikan putera raja Suran muntahkan buih dan keluarlah seorang manusia lelaki, hadir dengan pakaian. Demang Lebar Daun telah menamakannya sebagai “Batala”, iaitu asal orang membaca ciri dahulukala.
Asal raja Minangkabau dan Tanjung Pura
Demang Lebar Daun didatangi oleh Patih Suatang, iaitu Raja Minangkabau, meminta seorang anak raja untuk dirajakan di Minangkabau. Ekoran daripada peristiwa tersebut, Demang Lebar Daun telah menyerahkan Nila Pahlawan untuk ditabalkan sebagai raja di Minangkabau dengan gelaran Sang Si Perba. Selain itu Demang Lebar Daun juga telah menyerahkan Krisyna Pendita kepada orang-orang Tanjung Pura yang telah kemangkatan raja. Manakala Nla Utama pula telah ditabalkan sebagai raja di negeri Palembang dengan gelaran Seri Teri Buana. Baginda telah berkahwin dengan anak-anak raja dalam negeri Palembang, tetapi setelah beradu, maka semuanya menjadi kedal. Baginda kemudiannya berhasrat pula untuk mengahwini Raden Ratna Cendera Puri, iaitu puteri Demang Lebar Daun.
Bersumpah Berteguh Janji
Demang Lebar Daun meminta supaya Seri Teri Buana berjanji (berwaadat) dengannya terlebih dahulu sebelum berkahwin dengan puterinya Raden Ratna Cendera Puri. Demang Lebar Daun meminta jika anaknya terkena penyakit kedal setelah berkahwin dengan baginda, dia tidak akan dihalau dari istana. Sebaliknya anaknya itu mestilah menjadi pengurus dapur atau menyapu sampah di bawah peraduan baginda dan sekiranya anaknya membuat salah janganlah dimalukan.Perjanjian ini juga menetapkan golongan raja tidak akan melakukan kezaliman kepada rakyatnya dan golongan rakyat pula tidak akan menderhaka kepada raja melainkan raja dahulu yang menzalimi rakyat. Sekiranya rakyat menderhaka kepada raja, Allah akan menterbalikkan bumbung rumahnya ke bawah dan kakinya ke atas, Manakala jka raja yang menzalimi rakyat, Allah akan membinasakan negeri dan kerajaannya. Raden Ratna Cendera Puri didapati tidak kedal setelah dikahwini oleh Seri Teri Buana. Hal ini kerana Demang Lebar Daun merupakan keturunan Raja Sulan. Pada suatu hari yang lain, berlaku peristiwa hanyut buih dari hulu sungai Palembang. Di dalamnya terdapat seorang budak perempuan yang elok rupa parasnya, diambil oleh Seri Teri Buana dan dinamakan Puteri tanjung Buih.
Membunuh Ular Sakti Mona
Nila Pahlawan (Sang Si Perba) menitahkan hulubalangnya yang bernama Pamasku Mambang untuk membunuh seekor ular Sakti Mona yang memusnahkan hasil tanaman dan mengganggu ketenteraman penduduk Minangkabau. Pamasku Mambang berjaya membunuh ular tersebut dengan menggunakan Curik Si Mandang Kini anugerah Sang Si Perba.
Mencari Tempat Baru Untuk Berbuat Negeri
Seri Teri Buana bersama mertuanya, Demang Lebar Daun serta pengikut-pengikutnya keluar mengembara mencari tempat baru untuk berbuat negeri. Baginda dan pengikut-pengikutnya tiba di Kuala Inderagiri. Pada suatu ketika, baginda tiba pula di suatu selat, dan kemudian ke Kuala Kuantan, rombongan baginda keputusan bekalan air minum. Di sini, baginda menunjukkan kelebihan menawarkan air laut yang masin. Baginda menitahkan pengikutnya membuat lingkaran rotan, lalu baginda mencelupkan ibu jari kaki baginda ke dalam lingkaran tesebut menyebabkan air masin bertukar menjadi tawar. Tempat tersebut kemudiannya dinamakan“Selat Air tawar
Apabila Raja Bintan, iaitu Wan Seri Beni mengetahui Seri Teri Buana berada di Selat Sumbu, baginda menitahkan kepada pembesarnya Aria Bupala dan menterinya pergi menyambut kedatangan Seri Teri Buana dan rombongan ke Bintan.
Jadi Anak Angkat Raja Perempuan Bintan
Seri Teri Buana dijadikan anak angkat oleh Wan Seri Beni. Baginda telah menyerahkan kerajaan baginda kepada Seri Teri Buana dan melantik Demang Lebar Daun sebagai Bendahara Bintan. Pada suatu hari, Seri Teri Buana keluar berburu bersama-sama pengikutnya di Bengkilan. Kemudian baginda berburu dari Tanjung Bemban sampai ke Tanjung Sengkuang. Ketika berdiri di atas bukit, baginda nampak pasir putih terhampar di tanah seberang, iaitu Temasik. Ini menyebabkan baginda berhasrat untuk pergi ke Temasik.
Temasik Di Jumpai
Seri Teri Buana dan rombongan pergi ke Temasik dengan menyeberangi laut. Ketika sampai ke tengah laut, ribut kencang dan ombak besar tiba-tiba melanda kapal baginda dan rombongan. Semua barang dalam kapal kenaikan Seri Teri Buana dibuang ke laut, namun kapal yang hampir tenggelam tidak juga mahu timbul Peristiwa ini berlaku ketika rombongan sampai di Teluk Belanga. Akhirnya baginda meletakkan mahkota ke air, barulah ribut dan ombak reda dan kapal timbul seperti asal. Seri Teri Buana selamat sampai di Temasik.
Ketika Seri Buana berteduh di bawah pohon jambu air, baginda ternampak seekor singa yang tangkas dan hebat melintasi di hadapan baginda. Singa tersebut berbulu merah tubuhnya, kepalanya berwarna kehitam-hitaman dan bulu didadanya berbintik-bint putih. Tempat tersebut akhirnya dibuka sebagai negeri baru dan di namakan Singapura . Seri Teri Buana telah ditabalkan sebagai raja Singapura yang pertama oleh Wan Eri Beni.
Sinopsis Sulalatus Salatin Bab III
Puteri Nila Pencadi Ke Singapura
Raja Jambunga Rama Medaliar yang memerintah negeri Bijaya Negara di benua Keling mempunyai seorang puteri yang bernama Tuan Puteri Nila Pencadi. Raja Singapura, iaitu Seri Teri Buana pula mempunyai dua orang putera yang bernama Raja Kecil Besar dan Raja Kecil Muda. Berita tentang kecantikan Nila Pancadi telah menarik minat Seri Teri Buana. Baginda ingin menjodohkan putera baginda Raja Kecil Besar dengan Tuan Puteri Nila Pancadi. Jesteru itu satu rombongan (utusan) peminangan dihantar ke benua Keling. Akhirnya rombongan dari benua Keling telah datang ke singapura dan berlangsunglah perkahwinan antara Raja Kecil Besar dengan Tua Puteri Nila Pancadi. Raja Kecil Muda pula telah dikahwinkan dengan cucu Demang Lebar Daun yang bernama Raden Lasmi Puri.
Raja dan Bendahara Adik-Beradik
Setelah Seri Teri Buana mangkat, raja Kecil Besar ditabalkan sebagai raja Singapura dengan memakai gelaran Paduka Seri Pikrama Wira. Baginda kemudiannya telah melantik adinda baginda, Raja Kecil Muda sebagai Bendahara dengan gelaran Tun Perpatih Permuka Berjajar. Oleh itu peneraju Singapura terdiri daripada adik-beradik. Cucu Demang Lebar Daun pula telah dilantik menjadi Perdana Menteri dengan gelaran Tun Perpatih Permuka Jegalar. Tidak lama kemudian, Paduka Seri Pikrama Wira mendapat seorang putera yang dinamakan baginda Raja Muda.
Peristiwa Tatal dan Menarah Kepala Budak
Kerajaan Majapahit yang diterajui oleh Raden Inu Merta Wangsa merupakan kerajaan yang besar dan kuat. Seluruh tanah Jawa dan sebahagian negara di Nusantara berada di bawah kekuasaannya. Apabila mendapati Singapura tidak menyembah (tunduk) kepada pemerintahan Majapahit. Raden Inu Merta Wangsa telah mengirim suatu bingkisan berupa sekeping tatal (kelupasan kayu yang ditarah) kepada raja Singapura. Tatal dibuat daripada kayu tujuh depa panjang, ditarah tiada putus, menjadi nipis seperti kertas dan digulung seperti subang. Paduka Seri Pikrama Wira menyambut baik utusan yang menghantar bingkisan itu. Tetapi setelah membuka bingkisan tersebut, tahulah baginda akan maksud sindiran Betara Majapahit tehadapnya, iaitu Betara Majapahit menafikan kelakian baginda.
Sebagai balasannya, Paduka Seri Pikrama Wira telah mengarahkan seorang tukang menarah kepala seorang budak dengan menggunakan sebilah beliung dengan disaksikan oleh utusan Majapahit.
Selepas itu baginda mengutuskan suatu bingkisan berupa beliung itu sendiri dan sepucuk surat. Kiriman itu menimbulkan kemurkaan Betara Majapahit yang sedar bahawa kiriman itu bermaksud raja Singapura hendak menarah kepalanya. Baginda mengambil keputusan untuk melancarkan serangan ke atas Singapura. Walau bagaimanapun serangan tersebut gagal kerana dapat dipatahkan oleh angkatan Singapura. Selepas peristiwa tersebut, Paduka Seri Pikrama Wira telah mengahwinkan puteranya Raja Muda dengan anak Tun Perpatih Permuka Berjajar (perkahwinan sepupu). Raja Muda kemudiannya ditabalkan menjadi raja Singapura selepas kemangkatan ayahanda baginda dengan gelaran Seri Rakna Wikrama. Selepas kematian Bendahara Tun Perpatih Permuka Berjajar, anaknya pula menggantikan beliau dengan gelaran Tun Perpatih Tulus.
Badang Beroleh Gagah
Badang, yang tinggal di sebuah kampung yang bernama Sayung merupakan seorang hamba yang ditugaskan oleh tuannya mengerjakan sebuah huma. Badang gemar menahan lukah . Namun Badang berasa tidak puas hati kerana lukah yang ditahannya tidak pernah mendatangkan hasil tangkapan, sedangkan sisik dan tulang ikan banyak ditemui di tepi lukahnya. Pada Suatu hari, Badang mengambil keputusan untuk mengintai kerana ingin mengetahui siapakah yang bertanggungjawab memakan ikan dalam lukahnya. Didapati seekor hantu sedang makan ikan dalam lukahnya. Bentuknya tubuhnya, besar dan panjang, badannya merah seperti api, matanya seperti matahari terbit, rambutnya seperti raga dan janggut sampai ke pusat. Dengan berbekalkan parang dan kapak, Badang menerpa dan memegang janggut hantu itu serta mengugut hendak membunuhnya. Hantu yang ketakutan memberi beberapa tawaran kepada Badang supaya dirinya tidak dibunuh. Antaranya, tawaran kekayaan, pangkat dan kuasa, kekuatan dan halimunan (ghaib). Badang memilih untuk menjadi kuat, lalu hantu meminta Badang memakan muntahnya.
Selepas memakan muntah hantu, Badang beroleh kekuatan luar biasa hingga dapat mencabut pokok-pokok besar sepemeluk dua pemeluk dengan tangan sahaja. Dalam masa sehari, Badang dapat membersihkan ladang tuannya. Kekuatan Badang telah menyebabkan tuannya menjadi kaya sehingga digelar “Orang Kaya Sayung”. Beliau kemudiannya telah memerdekakan Badang.
Kekuatan Badang sampai ke pengetahuan Seri Rakna Wikrama lalu baginda memanggil Badang mengadapnya. Badang kemudiannya dijadikan “Sandim Sani” oleh Seri Rakna Wikrama. Semasa mengambil ulam kuras di Sayung untuk dijadikan ulam santapan Seri Rakna Wikrama, dahan pokok kuras terserkah menyebabkan Badang jatuh ke tanah. Kepalanya terhempas ke batu menyebabkan batu terbelah dua, sedangkan kepala Badang tidak mengalami apa-apa kecederaan. Badang juga telah berjaya menolak sebuah pilang “panjang lima belas” seorang diri. Akhirnya Badang dilantik menjadi hulubalang oleh Seri Rakna Wikrama.
Kegagahan Badang Diuji
Cerita tentang kegagahan Badang tersebar hingga ke benua Keling. Hal ini menarik perhatian raja benua Keling lalu baginda menghantar pahlawannya yang gagah bernama Nadi Bijaya Niakra ke Singapura untuk bergusti dengan Badang. Pemergian pahlawan Keling disertai oleh tujuh buah kapal yang sarat dengan isinya sebagai taruhan. Namun Nadi Bijaya Niakra berjaya ditewaskan oleh Badang dalam peraduan mengangkat batu besar di hadapan istana Singapura.
Selepas itu , seorang pahlawan Perlak yang bernama Benderang pula ingin menguji kekuatan Badang. Seri Rakna Wikrama bersetuju mempertemukan Badang dengan Benderang. Dalam satu majlis makan, tanpa diketahui oleh sesiapa pun, Badang dan Benderang saling menindih paha masing-masing. Ternyata Badang lebih gagah daripada Benderang kerana Benderang gagal mengangkat pahanya yang ditindih oleh Badang. Benderang meminta Tun Perpatih Pandak yang mengiringinya membatalkan pertarungan yang telah direncanakan itu
Mula Kedatangan Islam Ke Alam Melayu
Di negeri Pasai, terdapat dua orang bersaudara, iaitu Merah Caga dan adindanya Merah Silu, yang suka menahan lukah. Namun yang selalu memasuki lukahnya ialah cacing gelang-gelang. Ini menyebabkan Merah Silu mengambil keputusan untuk merebus cacing tersebut. Apa yang menghairankan ialah cacing gelang-gelang yang direbus Merah Silu bertukar menjadi gelang-gelang emas, manakala air rebusannya pula bertukar menjadi perak. Ini menyebabkan Merah Silu menjadi kaya raya. Tempat Merah Silu merebus cacing dinamakan “Padang Gelang-Gelang”.
Kemudian berlaku permusuhan antara Merah Caga dengan Merah Silu. Ini kerana pada sangkaan Merah Caga, adindanya makan cacing dan perbuatan tersebut menjatuhkan imej keluarganya. Merah Caga cuba membunuh Merah Silu menyebabkan adindanya lari ke Rimba Jurun. Semasa berburu, anjing Merah Silu yang bernama Si Pasai menyalak disuatu kawasan tanah tinggi. Di sana, Merah Silu menemui seekor semut sebesar kucing, lalu baginda memakan semut itu. Tempat tersebut telah dibuka sebagai negeri baru dan diberi nama Semudera, iaitu singkatan kata “Semut Besar”.
Selepas itu berlaku peristiwa pengislaman Merah Silu. Syarif Mekah telah menitahkan sebuah kapal yang dinakhodai oleh Syeikh Ismail belayar ke Semudera. Dalam perjalanan, kapal singgah di negeri Muktabari untuk mengambil Fakir Muhammad, sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w. dahulu. Dalam perjalanan mencari negeri yang bernama Semudera, rombongan itu telah singgah dibeberapa negeri seperti Fansuri, Lamiri, Haru dan Perlak. Akhirnya, rombongan kapal sampai di Semudera dan mengislamkan raja Merah Silu.
Pada sebelah malamnya,Merah Silu bermimpi bertemu Rasulullah s.a.w. Merah Silu diminta supaya mengangakan mulutnya sebelum Rasulullah s.a.w meludah ke dalam mulut baginda. Setelah bangun keesokkan paginya ,Merah Silu dapati tubuhnya berbau harum. Kemudian Fakir Muhammad dan Syeikh Ismail naik ke istana Merah Silu. Mereka meminta Merah Silu membaca al-Quran. Berkat ludahan Nabi Muhammad s.a.w, Merah Silu dapat membaca al-Quran dengan fasih/lancar. Akhirnya Merah Silu ditabalkan sebagai raja Semudera dengan gelaran Sultan Malikul Salleh. Selepas pengislamannya, Merah Silu berkahwin dengan Puteri Genggang dari Perlak. Baginda telah dikurniakan dengan dua orang putera, iaitu Sultran Malikul Tahir dan Sultan Malikul Mansor.
Raja Pasai Ditipu dan Ditawan
Pada masa itu terdapat sebuah kerajaan besar dan kuat bernama Shahru’n Nuwi (Siam). Rajanya telah menitahkan Awi Dicu ke Pasai untuk menangkap Sultan Malikul Tahir. Awi Dicu telah membuat helah/muslihat untuk menangkap Sultan Malikul Tahir bagi mengelakkan daripada berlakunya pertumpahan darah. Empat orang pahlawan dimasukkan ke dalam empat buah peti yang berkunci di dalam sebagai hadiah kepada raja Pasai. Apabila sampai di balai penghadapan, mereka keluar dari peti terus menangkap Sultan Malikul Tahir. Baginda kemudiannya dibawa ke Siam dan dijadikan sebagai pengembala ayam.
Sidi Ali Ghiathu’d-Din berusaha menyelamatkan raja Pasai dengan tipu muslihat menyamar sebagai seorang pedagang Arab. Beliau mengadap raja Syahru’n–Nuwi dengan mempersembahkan berbagai-bagai hadiah. Kali pertama mengadap mempersembahkan sepohon kayu emas dan buahnya permata, tanpa meminta sebarang balasan daripada pemberian itu. Kali kedua, mempersembahkan papan catur emas dan buahnya permata, juga tanpa meminta apa-apa balasan daripada persembahan itu. Kali terakhirmempersembahkan sepasang itik emas dan pasu emas. Akhirnya Sidi Ali Ghiatu’d-Din berjaya menyelamatkan Sultan Malikul Tahir dan dibawa balik ke Pasai.
Peristiwa Kerana Seorang Dayang
Sultan Malikul Mansor telah mengambil seorang dayang kepunyaan kekandanya Sultan Malikul Tahir. Peristiwa ini berlaku semasa Sultan Malikul menjadi tawanan raja Syahru’n Nuwi. Ini menyebabkan Sultan Malikul Tahir murka, dan bertindak menangkap Sultan Malikul Mansor dan Sidi Asma Yaumi’d Din semasa menghadiri majlis berkhatan Sultan Ahmad, putera Sultan Malikul Tahir. Sultan Malikul dijatuhkan hukuman dibuang daerah ke Manjung.
Keengganan Sidi Asma Yaumi’d Din mematuhi perintah Sultan Malikul Tahir agar tidak mengikuti Sultan Malikul Mansor ke Manjung menyebabkan dia dibunuh. Mayatnya ditanam di Padang Maya. Selepas tiga tahun adindanya dalam buangan, Sultan Malikul Tahir insaf dengan kesilapan yang dilakukan dan menitahkan pembesarnya menjemput adindanya pulang ke istana. Namun Sultan Malikul Mansor mangkat di sisi kubur Sidi Asma Yaumi’d Din dalam perjalanan pulang ke istana.
Sinopsis Sulalatus Salatin Bab IV
Singapura DiLanggar Todak
Tuan Jana Khatib dari Pasai yang mahir dalam ilmu khayal Lillah dating di Singapura. Suatu masa, Tuan Jana Khatib berjalan di Pekan Singapura sehinggalah sampai ke pintu peranginan raja. Di sini dia menilik pohon pinan sehingga terbelah dua di hadapan permaisuri Paduka Seri Maharaja, menyebabkan raja murka dan menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Tuan Jana Khatib. Apabila Tuan Jana Khatib dibunuh, maka berlakulah peristiwa yang luar biasa, iaitu hanya darahnya titik di Singapura, tetapi badannya ghaib dan terhantar di Lengkawi. Ekoran daripada pembunuhan Tuan Jana khatib, Singapura menerima bencana dilanggar ikan todak.
Ramai rakyat Singapura yang mati ditikam todak dan Singapura menjadi huru-hara. Kemudian Paduka Seri Maharaja menitahkan rakyatnya berkubukan betis untuk menghalang serangan todak. Namun rancangan ini gagal, malah semakin ramai rakyat Singapura terkorban ditikam todak. Kemudian mucul seorang budak cerdik yang memberi cadangan agar berkubukan batang pisang. Akhirnya serangan todak berakhir dan Singapura kembali aman. Tetapi budak cerdik dijatuhkan hukuman bunuh oleh Paduka Seri Maharaja, setelah baginda mendengar hasutan para pembesar yang ada perasaan dengkiu terhadap budak cerdik kerana bimbang kedudukan mereka akan tergugat.
Akibat Khianat, Singapura Dialahkan Majapahit
Serwaktu pemerintahan Raja Iskandar Syah, Singapura diserang majapahit kerana sikap dan tindakan baginda yang memalukan bendaharinya, iaitu Sang Rajuna Tapa. Baginda menjatuhkan hukuman sula ke atas anak perempuan Sang Rajuna Tapa, gundik raja kerana difitnahkan oleh gundik-gundik lain yang dengki kerana lebih disayangi oleh Raja Iskandar Syah. Sang Rajuna Tapa merasa malu lantas berhasrat untuk menderhaka terhadap Raja Iskandar. Beliau bertindak mengutus utusan/surat ke Majapahit, minta supaya Betara Majapahit menyerang Singapura dan dia sendiri menyatakan ingin belot.
Raja Iskandar Berlepas Ke Darat
Majapahit berjaya mengalahkan Singapura ekoran belotnya Sang Rajuna Tapa. Raja Iskandar lari ke Seletar, kemudian ke hulu Muar. Sang Rajuna Tapa dan isteri menerima balasan bertukar menjadi batu kerana penderhakaannya. Di Muar, Raja Iskandar dan pengikut-pengikutnya cuba membuat penempatan baru, sebagai menggantikan Singapura. Namun berlaku peristiwa aneh, yang mana ribuan ekor biawak datang ke kawasan penempatan mereka. Pada waktu siang biawak tersebut dibunuh. Peristiwa berlaku berulang kali menyebabkan kawasan tersebut dipenuhi dengan bangkai biawak yang busuk baunya. Tempat tersebut dinamakan sebagai “Biawak Busuk”.
Oleh kerana peristiwa tersebut memberi tanda/alamat yang tidak baik, maka Raja Iskandar Syah meneruskan pengembaraannya. Tiba di Simpang Ujung, Raja Iskandar menitahkan pengikut-pengikutnya membina sebuah kota. Tetapi sayangnya kota yang baru siap dibina, bertukar menjadi buruk apabila waktu malam, dan dinamakan “Kota Buruk”.Raja Iskandar terus mengembara hingga sampai di Sungai Ujung.
Membuka Negeri Melaka
Akhirnya Raja Iskandar Syah tiba di Sg. Bertam. Sewaktu berehat di bawah pokok Melaka, baginda terpandang anjing perburuannya ditewaskan oleh seekor pelandok putih hingga terjatuh ke sungai. Tempat tersebut telah dibuka sebagai negeri baru dan dinamakan “Melaka” sempena pohon Melaka tempat baginda berteduh. Raja Iskandar Syah menjadi raja pertama memerintah Melaka. Baginda memerintah selama tiga tahun. Apabila Raja Iskandar Syah mangkat, takhta kerajaan Melaka diganti oleh anakanda baginda yang bernama Raja Muda. Apabila Raja Muda mangkat, putera baginda Raden Tengah pula menjadi raja Melaka. Selepas Raden Tengah mangkat, putera baginda, Raja Kecil Besar dilantik sebagai raja Melaka.
Pada suatu malam, Raja Kecil Besar bermimpi berpandangan dengan Rasulullah s.a.w. Dalam mimpi tersebut, Raja Kecil Besar diajar mengucap dua kalimah syahadat dan diberi nama Sultan Muhammad Syah. Raja Kecil Besar juga diberitahu bahawa pada waktu asar keesokan harinya akan datang sebuah kapal dari Jeddah,, singgah untuk bersembahyang di pantai Melaka. Apabila baginda bangkit dari beradu, didapati tubuh baginda berbau harum (bau narawastu) dan kalam baginda seperti telah dikhatankan.
Kedatangan Islam Ke Melaka
Mimpi Raja Kecil Besar menjadi kenyataan, apabila Syed Abdul Aziz dari Jeddah mengetuai rombongan serta bersolat di pantai Melaka. Kemudian Syed Abdul Aziz dan rombongan di bawa ke istana. Dengan pertemuan itu Syed Abdul Aziz telah mengislamkan kerabat Diraja, diikuti pembesar dan rekyat jelata.
Semasa pemerintahan Sultan Muhammad Syah, beberapa peraturan serta larangan dibuat oleh baginda. Larangan seta peraturan ini merangkumi perkara-perkara yang perlu dipatuhi oleh rakyat. Contoh, larangan kepada rakyat biasa mengamalkan cara hidup masyarakat istana daripada segala aspek kehidupan, pakaian dan lain-lain.
Susunan Tertib Adat Istiadat Diraja
Susunan tertib adat istiadat diraja. Semasa mengadap raja di balairung dikenakan beberapa peraturan bagi pembesar. Aturan kedudukan bedasarkan pangkat dan kedudukan. Bendahara, Temenggung, dan Penghulu Bendahari duduk berhampiran raja. Menteri-Menteri, Orang Besar serta sida-sida duduk ditempat yang telah dikhaskan, diikuti oleh anak-anak raja di kiri kanan balai, sida-sida muda duduk diselang-selang antara Bentara dan hulubalang kelilingi balai.
Dalam peraturan menyambut utusan dari negei-negeri luar berdasarkan taraf kedudukan sesebuah negeri dari mana utusan itu datang. Jika utusan datang dari negeri Haru, Pasai, suratnya disambut secara besar-besaran kerana negeri-negeri tersebut sama taraf dengan kerajaan Melaka.. Manakala utusan dari negeri-negeri lain disambut secara sederhana sahaja.
Adat istiadat menganugeahkan gelaran atau jawatan pula, orang yang akan dianugerahkan gelaran akan dijemput ke istana dengan bergajah, berkuda dan berjalan dengan bingkisan mengikut taraf gelaran yang diperolehnya. Mereka juga dipayungkan dengan payung hijau, biru, merah mengikut pangkat dan gelaran yang diperolehnya. Contoh: payung hijau adalah untuk bentara hulubalang dan sida-sida. Mereka juga akan diiringi dengan alat bunyi-bunyian seperti gendang serunai.. Di balairung, riwayat dan jasa-jasa orang yang menerima anugerah akan dibacakan. Selesai menerima anugerah dan jawatan, maka orang itu akan dikenakan patam dan pontoh. Akhirnya mereka akan dihantar pulang seperti mana mereka dijemput ke istana.
Adat istiadat raja berangkat pula ada dua cara. Pertama, raja berangkat dengan cara berusung. Baginda akan diusung oleh pembesar-pembear dan diringi dengan alat bunyi-bunyian. Kedua, raja berangkat dengan menaiki gajah. Peraturan istiadat juga ditentukan dalam upacara sultan menyambut hari-hari kebesaran seperti bulan puasa dan syawal. Biasanya raja akan berangkat ke masjid dengan menaiki gajah untuk besembahyang terawih dan sembahyang hari raya. Selain itu, Sultan Muhammad Syah juga menetapkan peraturan dan adat istiadat apabila baginda hendak mengadakan majlis jamuan.
Mani Purindam ialah putera Raja Nizamu’l Muluk Akhbar Syah di negeri Pahili benua Keling. Baginda berkecil hati dengan adiknya, Raja Akhbar Muluk Kud Syah kerana berselisih faham mengenai harta pusaka. Peristiwa ini menyebabkan baginda membawa diri ke Melaka. Di Melaka, baginda berkahwin dengan Tun Ratna Sendari anak Seri Nara Diraja Tun Ali dan memperolehi dua orang anak, iaitu Tun Ali dan Tun Ratna Wati. Sultan Muhammad Syah telah memperisterikan Tun Ratna Wati dan memperolehi seorang putera yang diberi nama Raja Kassim. Sultan Muhammad Syah juga berkahwin dengan Puteri Rekan dan telah dikurniakan seorang putera yang diberi nama raja Ibrahim.
Istana Dibawah Pengaruh Raja Rekan
Setelah Sultan Muhammad Syah mangkat, Raja Ibrahim telah ditabalkan sebagai raja Melaka yang kelima bergelar Sultan Abu Syahid. Namun demikian, semua hal yang berkaitan dengan pentadbiran Melaka dijalankan oleh pemangku raja, iaitu Raja Rekan kerana raja Ibrahim masih kanak-kanak. Raja Kassim pula telah dihalau dari istana dan menjadi pengail ikan di pantai Melaka. Raja Kassim berjumpa dengan Maulana Jalalu’d-din (seorang ulama dan saudagar) yang sedia membantu Raja Kassim merampas kembali takhta kerajaan Melaka. Tetapi Maulana Jalalu’d Din mengenakan syarat, Raja Kassim mestilah menyerahkan Puteri Rekan kepadanya kelak.
Peristiwa Rampas Kuasa
Raja Kassim menyerang istana dengan bantuan Maulana Jalalu’d-in, dan disokong oleh bendahara dan Seri Nara Diraja . Dalam serangan tersebut, Raja Rekan mati dibunuh oleh pengikut-pengikut Raja Kassim. Sebelum mati, raja Rekan telah membunuh Raja Ibrahim. Raja Kassim kemudiannya naik takhta dan bergelar Sultan Muzaffar Syah, memerintah Melaka dengan adil dan saksama. Akan tetapi baginda lebih mengutamakan Seri Nara Diraja daripada Bendahara Seri Wak Raja. Akibatnya, Bendahara Seri Wak Raja membunuh diri dengan cara minum racun, kerana menyangka dirinya dimurkai oleh sultan. Bendahara Seri Wak Raja meninggalkan tiga orang anak, iaitu Tun Kudu, Tun Perak dan Tun Perpatih Putih.
Sulalatus Salatin Bab V
Bakat kebijaksanaan Tun Perak
Pada suatu ketika dahulu, negeri Siam dikenali sebagai Syahrun Nuwi. Banyak negeri berada dibawah taklukannya. Nama pemerintahnya ialah Paduka Bubunnya. Apabila mendapat tahu bahawa negeri Melaka yang besar bukan takluknya, baginda menghantar utusan ke Melaka, meminta supaya Melaka menghantar sembah kepadanya. Hal ini tidak dilakukan oleh Sultan Muzaffar Syah., menyebabkan Paduka Bubunnya marah dan menitahkan Panglimanya Awi Cakri dan pengikut yang ramai supaya menyerang Melaka.
Sultan Muzaffar Syah Melaka menitahkan seluruh rakyatnya spaya berkumpul di Melaka. Tun Perak juga turut bersama orang-orang Kelang (termasuk anak dan isteri) berkumpul di Melaka. Tun Perak telah berjaya mematahkan serangan angkatan Siam. Ekoran kejayaan itu, Tun Perak tidak dibenarkan pulang ke Kelang dan diminta terus menetap di Melaka. Tun Perak telah dianugerahkan jawatan Bentara. Tun Perak kemudiannya dilantik sebagai Menteri kerana memiliki kebijaksanaan yang tinggi bergelar Paduka Raja.
Satu cara Mengelakkan Pecah Belah
Setelah Tun Perak menjadi orang besar, rakyat Melaka berpecah kepada dua golongan. Pertama, golongan yang berpihak kepada Tun Perak. Kedua, golongan yang menyokong Seri Nara Diraja Tun Ali. Hal ini menyebabkan sultan Muzaffar Syah berdukacita. Baginda bimbang kepada kesan yang akan timbul. Jika hal ini dibiarkan berterusan negeri mungkin binasa. Sultan mencari akal untuk mengatasi perbalahan ini supaya mereka berbaik semula.
Sultan Muzaffar Syah telah menawarkan anak-anak pembesar untuk diperisterikan oleh Seri Nara Diraja, namun kesemuanya ditolak . Oleh itu baginda terpaksa membuat pengorbanan dengan menawarkan isterinya Tun Kudu kepada Seri Nara Diraja. Tawaran itu dipersetujui oleh Seri Nara Diraja untuk memperisterikan Tun Kudu anak Bendahara Seri Wak Raja yang juga saudara kepada Paduka Raja. Ini menyebabkan Sultan Muzaffar bertindak menceraikan isterinya dan selepas edah Tun Kudu dikahwinkan dengan Seri Nara Diaja. Hubungan antara Paduka Raja dengan Seri Nara Diraja terjain erat. Bendahara Paduka Raja kemudiannya dijadikan bendahara atas cadangan Seri Nara Diaja, yang kemudiannya dianugerahkan pangkat Penghulu Bendahari.
Langgaran Siam Dipatahkan
Angkatan Siam menyerang Melaka buat kali kedua dibawah pimpinan Awi Dicu. Sultan Muzaffar Syah menitahkan Bendahara Paduka Raja, Seri Nara Diraja dan Seri Bija Diraja menyekat serangan Siam melalui jalnn laut berhampian dengan daerah Batu Pahat. Pada waktu siangnya, Paduka Raja menyuruh Tun Omar, anak Seri Bija Diraja (Tun Hamzah) pergi dengan perahu meninjau angkatan Siam. Tun Omar berjaya melanggar beberapa buah perahu Siam. Apabila malam, datanglah Awi Dicu ke pantai Batu Pahat. Awi Dicu tertipu dengan helah yang dilakukan oleh Paduka Raja yang menambat puntung-puntung api pada segala pohon bakau, nyireh dan tumu api-api di sepanjang pantai Batu Pahat. Awi Dicu dan pengikutnya menyangka bahawa orang-orang (hulubalang) Melayu terlalu ramai untuk dihadapi oleh mereka. Lantaran itu Awi Dicu membatalka hasrat untuk menyeang Melaka dan kembali semula ke Siam.
Paduka Bubunnya marah setela mendengar cerita Awi Dicu dan baginda sendiri mengambil keputusan ingin menyerang Melaka. Tetapi keinginan baginda tidak terlaksana kerana anakanda baginda yang benama Cau Panden menyatakan hasrat menyerang Melaka.
Di Melaka, ada seorang berbangsa Arab yang bernama Saidi Arab yang pandai bermain panah lasykar. Saidi Arab yang berada di istana Melaka, menghalakan panahnya ke benua Siam dengan menyatakan, “mati kau Cau Panden”. Di benua Siam pula Cau Panden merasa dadanya seperti terkena panah, muntah dan akhirnya mati .
Pemerintahan Sultan Mansur Syah
Sultan Muzaffar Syah mangkat setelah 42 tahun memerintah Melaka dan digantikan oleh anakanda baginda Raja Abdullah dengan gelaran Sultan Mansur Syah.. Ketika itu Sultan Mansur Syah berumur 27 tahun. Semasa pemerintahannya, baginda telah melaksanakan dasar peluasan wilayah. Langkah pertama diambil oleh baginda, ialah menitahkan Bendahara Paduka Raja menyerang negeri Indera Pura yang diperintah oleh Maharaja Dewa Sura. Bendahara Paduka Raja yang dibantu oleh Seri Bija Diraja, Tun Pikrama dan segala hulubalang berjaya menawam Inderapura.
Raja Indera Pura Ditawan
Seri Bija Diraja dapat mengesan Maharaja Dewa Sura di rumah seorang perempuan tua lalu beliau menyuruh para pengikutnya menangkap raja tersebut. Rumah perempuan tua itu terletak berhampiran dengan sebatang anak sungai dan terdapat sebatang pohon mahang di situ. Berikutan daripada itu, sungai itu disebut “Sungai batang Pahang” dan negeri Indera Pura kemudiannya dikenali sebagai Pahang.
Maharaja Dewa Sura dan puteri Onang Sari dibawa pulang ke Melaka. Seri Bija Diraja dianugerah pelbagai hadiah dan diberi kuasa memerintah Pahang, sementara mendapat raja baru. Maharaja Dewa Sura diserahkan di bawa pengawasan Seri Nara Diraja, manakala Puteri Orang Sari diperisterikan oleh Sultan Mansur Syah dan dikurniakan dengan dua orang putera, iaitu Raja Muhammad dan Raja Ahmad. Sultan Mansur Syah sayang akan Raja Muhammad dan berhasrat untuk melantiknya sebagai pengganti baginda kelak.
Hubungan Muhibah Melaka-Sulawesi
Sultan Mansur Syah ingin menjalin hubungan persahabatan dengan Mengkasar lalu baginda menitahkan Bendahara Paduka Raja mengarang surat persahabatan itu. Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja telah diutuskan ke Mengkasar untuk membawa surat tersebut. Hasrat Melaka disambut baik ole raja Keraeng di Goa. Kemudian Seri Bija Pikrama dan Tun Sura Diraja kembali semula ke Melaka.
Dari Mana Hang Tuah Berasal
Seri Bija Pikama dan Tun Sura Diraja berangkat pulang ke Melaka . Mereka membawa bersama seorang budak laki-laki yang memiliki sikap pahlawan yang dikirimkan oleh raja Goa kepada Sultan Mnsur Syah. Budak laki-laki itu bernama Daeng Mempawah, anak raja Bajung. Daeng mempawah ditukar nama oleh Sultan Mansur Syah sebagai Hang Tuah. Di Melaka, Hang Tuah menghabiskan masanya dengan mempelajari ilmu persilatan (kepahlawanan). Hang Tuah mempunyai sembilan orang sahabat, iaitu Hang Jebat, Hang Kesturi, Hang Lekir, Hang Lekiu, Hang Ali, Hang Iskandar Hang Hassan, Hang Hussin dan Tun Bija Sura.
Maharaja Dewa Sura Dibebaskan
Gajah kenaikan Sultan Mansur Syah yang bernama Kemanci telah lari ke hutan. Tiada siapa yang dapat menangkap kembali gajah tersebut termasuk Seri Rama. Oleh itu, Seri Rama mencadangkan agar Maharaja Dewa Sura menangkap gajah Sultan Mansur Syah itu. Maharaja Dewa Sura bersetuju dengan syarat ia dibebaskan sekiranya baginda berjaya menangkap Kemanci. Maharaja Dewa Sura yang tinggi ilmu gajah berjaya menangkap gajah sultan dan baginda telah dibebaskan oleh Sultan Mansur Syah. Kemudian. Sultan Mansur Syah menitahkan Maharaja Dewa Sura mengajar ilmu gajah kepada pemuda-pemuda di negeri Melaka.
Hubungan Berbaik-Baik Melaka-Siam
Sultan Mansur Syah mengutuskan Tun Telanai dan Menteri Jana Putera ke benua Siam untuk mencapai perdamaian dengan raja Siam. Hasrat perdamaian Sultan Melaka disambut baik oleh raja Siam. Semasa berada di Siam, utusan Melaka telah menunjukkan kelebihan dan keistimewaan sama ada dari segi kepahlawanan mahu pun kebijaksanaan akal dan sseterusnya berjaya menaikkan imej martabat raja dan negeri Melaka.
Antara kelebihan yang ditunjukkan oleh utusan Melaka ialah. apabila Menteri Jana Putera petah menjawab soalan daripada raja Siam mengenai erti Sultan Mansur Syah. Menteri Jana Putera memberiahu raja Siam bahawa erti sultan Mansur Syah ialah “raja yang dimenang akan Allah Ta’ala daripada segala seterunya”. Kemudian Tun Telanai menyuruh orang Suir yang tua lagi untut kedua-dua belah kakinya bemain senjata di hadapan raja Siam. Orang Suir menunjukkan kekebalannya menahan lembing yang dilambung dengan menggunakan belakangnya.. Lembing yang jatuh ke belakangnya mengantul jatuh ke tanah dan belakangnya tidak terguris (luka).
Tun Telanai dan Menteri Jana Putera juga berjaya membuat tipu helah sehingga berjaya mengelakkan daripada menyerang musuh Siam yang kuat di sebelah matahari mati, dengan memberi alasan adat orang Islam apabila sembahyang mengadap ke matahari mati.
Sulalatus Salatin Bab VI
Malang Membawa Tuah
Pada suatu hari, raja Tanjung Pura dan puteranya Raden Perlan Langu terpisah di Pulau Permainan kerana kenaikan baginda pecah akibat ribut dan ombak besar. Raden Perlan Langu dijumpai di Pantai Begawan, Majapahit oleh seorang penyadap. Raden Perlan Langu dijadikan anak angkat oleh penyadap itu dan ditukarkan nama kepada Ki Mas Jaya. Si Penyadap meramalkan suatu hari nanti Ki Mas Jaya akan menjadi Betara Majapahit.
Ki Mas Jaya pula mengatakan jika dia menjadi Betara Majapahit, Si Penyadap akan jadikannya Patih Aria Gajah Mada. Kerajaan Majapahit ketika itu diperintah oleh seorang puteri, iaitu Raden Galoh Awi Kesuma. Patih Gajah Mada berasa malu apabila rakyat mengatakan bahawa tentunya suatu hari nanti dia akan mengahwini Raden Galuh Awi Kesuma itu, kerana niatnya adalah menghambakan dirinya kepada kerajaan Majapahit. Oleh itu, Patih Aria Gajah Mada mencadangkan agar Raden Galoh Awi Kesuma mencari seorang suami dan cadangannya itu dipersetujuinya.
Bakal Ratu Majapahit
Memandangkan akan ketampanan serta manisnya wajah Ki Mas Jaya dalam sayembara itu, Raden Galoh Awi Kesuma amat berkenan. Mereka pun dikahwinkan dan Ki Mas Jaya menjadi Betara Majapahit dengan gelaran “Sang Aji Jaya Ningrat”.
Bapa angkat Betara Majapahit memohon dilaksanakan permintaannya yang lalu, iaitu supaya ia menggantikan Patih Aria Gajah Mada. Betara Majapahit mengatasi masalah ini dengan menceritakan keadaan sebenar tentang dirinya dan perihal janjinya dengan penyadap itu kepada Patih Aria Gajah Mada. Patih Aria Gajah Mada sanggup meletakkan jawatannya. Tetapi Betara tidak berkenan kerana tidak yakin dengan kebolehan Si Penyadap untuk melaksanakan jawatan itu.
Akhirnya Betara Majapahit dan Patih Aria Gajah Mada bersetuju melantik Si Penyadap sebagai ketua seluruh penyadap di dalam Majapahit setanding dengan kedudukan Patih Aria Gajah Mada. Si Penyadap menerima jawatan itu dengan gelaran Patih Adi Kara. Hasil perkongsian hidup Betara Majapahit dengan Raden Galoh Awi Kesuma, baginda beroleh seorang puteri yang baik parasnya dan dinamakan Raden Galoh Cendera Kirana.
Menjalin Muhibah Melaka-Majapahit
Sultan Mansur Syah diiringi oleh empat puluh orang pengiring, diketuai Tun Bija Sura dan sembilan orang hulubalang yang bergelar “Hanghang” ke Majapahit untuk meminang Raden Galuh Cendera Kirana. Dalam episod ini, pengarang menggambarkan kepahlawanan Hang Tuah. Sebelum berangkat ke Majapahit, Hang Tuah telah diberi gelaran “laksamana” oleh Sultan Mansur Syah apabila beliau berjaya membunuh tujuh puluh orang pengamuk dan seorang Jawa yang mengamuk.
Setelah tiba masanya, rombongan Sultan Mansur Syah pun berangkat ke Majapahit. Di Majapahit, banyak berlaku peristiwa yang menunjukkan kebijaksanaan dan kepahlawanan orang-orang Melaka. Antaranya, Tun Bija Sura berjaya mempertahankan keris yang dihadiahkan oleh Betara Majapahit daripada dicuri. Betara Majapahit juga menguji orang-orang Melaka dengan menambatkan seekor anjing bertentangan dengan Sultan Mansur Syah di istana.
Telatah Budak-Budak Raja Melaka
Tun Bijaya Sura berjaya menakutkan anjing yang ditambat di hadapan Sultan Mansur Syah, sehingga anjing lari dan tidak dapat dikesan lagi. Selain itu, Tun Bijaya Sura berjaya menjatuhkan imej Betara Majapahit melalui “Permainan Sapu-Sapu Rengit”. Ketika mempersembahkan permainan tersebut, Tun Biajaya Sura dan empat lima orang anak pembesar berlunjur kaki ke hadapan Betara Majapahit, iaitu satu tindakan yang bertentanganm dengan adat istiadat Majapahit.
Hang Tuah dan rakan-rakannya pula cuba mempemain-mainkan kewibawaan Betara Majapahit, dengan cara menceroboh taman larangan, yang menimbulkan kemurkaan Betara Majapahit. Kemudian berlaku pertarungan hebat antara Hang Tuah dan rakan-rakan dengan perajutrit-perajurit Majapahit yang dimenangi oleh Hang Tuah.
Dalam peristiwa lain, Tun Bijaya Sura sekali lagi menunjukkan keistimewaannya sehingga menjatuhkan maruah Betara Majapahit. Beliau memanjat tiang pesiban dan berpegang kepada tiang lalu berkeliuling pusing sambil menghayun-hayunkan sapu tangan dan hamper mengenai muka Betara Majapahit. Hal ini menyebabkan orang-orang Majapahit menjadi marah dan ingin membunuh Tun Bijaya Sura, tetapi dilarang oleh Betara Majapahit.
Betara Majapahit sentiasa mencari idea untuk menjatuhkan maruah Tun Biaya Sura dan raja Melaka. Baginda telah membuat helah dengan meminta Tun Bijaya Sura memakai pakaian seperti Jawa, iaitu berkeris di belakang. Ketika asyik Tun Bijaya Sura menonton orang-orang Jawa menyabung ayam, seorang Jawa berjaya menyendal (mencuri) kerisnya Tun Bijaya Sura dan diserahkan kepada Betara Majapahit. Setelah tersedar kerisnya dicuri, Tun Bijaya Sura mengambil keris Betara Majapahit yang sedang dibawa ke istana. Lantaran itu rancangan untuk menjatuhkan maruah Tun Bijaya Sura gagal.Setelah genap 40 hari 40 malam adat berjaga-jaga, maka Sultan Mansur Syah dan Raden Galuh Cendera Kirana pun berkahwin.
Memohon Jajahan Sebelum Kembali
Sebelum pulang ke Melaka, Sultan Mansur Syah menitahkan Tun Bijaya Sura, Hang Tuah dan Hang Jebat memohon negeri Inderagiri, Jambi, Tungkal dan Siantan daripada Betara Majapahit. Permohonan Sultan Mansur Syah telah diperkenankan oleh Betara Majapahit dan negeri-negeri tersebut terletak di bawah jajahan takluk Melaka. Mereka kemudiannya selamat pulang ke Melaka.
Hasil perkahwinan Sultan Mansur Syah dengan Raden Galuh Cendera Kirana, baginda dikurniakan seorang putera dinamakan Raden Kelang. Sultan Mansur Syah memperolehi dua orang anak perempuan hasil perkahwinan baginda dengan anak Seri Nara Diraja, iaitu Raja Mahadewi dan Raja Cendera. Manakala dengan isteri baginda anak Bendahara Paduka Raja dikurniakan seorang anak lelaki bernama Raja Hussain dan berkahwin dengan Tun Senaja saudara Tun Tahir.
Hang Tuah DiHukum Bunuh
Kesetiaan Hang Tuah kepada Sultan Mansur Syah tidak berbelah bahagi. Beliau telah berjaya menyelamatkan kuda Sultan Mansur Syah yang jatuh ke dalam telaga tahi. Hang Tuah sanggup turun menambat tali pada kuda itu untuk ditarik oleh orang ramai. Kebaktian Hang Tuah itu menyebabkan Sultan Mansur Syah amat menyayanginya.
Walaupun begitu, baginda sanggup menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hang Tuah kerana percayakan fitnah pembesar-pembesar yang mengatakan Hang Tuah melakukan zina dengan seorang dayang di istana. Seri Nara Diraja dititahkan untuk melaksanakan hukuman tersebut. Tetapi Seri Nara Diraja tidak membunuh Hang Tuah, sebaliknya menyembunyi dan mamasung Hang Tuah di dusunnya di hulu Melaka.
Perhubungan Dengan Negeri China
Kebesaran Melaka tersebar sampai ke negeri China. Raja China telah mentutuskan sebuah pilau yang sarat dengan jarum ke Melaka. Ini adalah untuk menunjukkan kebesaran dan keagungan negeri China, dengan harapan Melaka akan tunduk di bawah kekuasaannya. Sultan Mansur Syah tidak berbuat demikian, lalu membalas utusan dengan menitahkan Tun Perpatih Putih ke China dengan membawa sagu rendang penuh pilau. Ini bertujuan untuk menunjukkan betapa ramainya rakyat Melaka. Di China, Tun Perpatih Putih berjaya menunjukkan kebijaksanaannya sehingga berjaya melihat wajah raja China yang duduk bersemayam di dalam mongkor kaca melalui tipu muslihatnya, makan kangkung tidak berkerat, dibelah dua panjang-panjang. Ketika memakan kangkung tersebut, satu hujung kangkung dimasukkan ke mulut dan hujung yang satu lagi dikepit dengan penyepit sambil mendongak kepada ke atas dan berjaya melihat wajah raja China.
Puteri Raja China Ke Melaka
Tun Perpatih Putih berangkat ke Melaka bersama rombongan raja China yang diketuai Lak Di Po. Mereka membawa bersama Puteri Hang Liu untuk dipersembahkan kepada Sultan Mansur Syah. Baginda berkahwin dengan Puteri Hang Liu dan memperolehi seorang anak lelaki yang diberi nama Paduka Hamimat.
Pada hari lain, Sultan Mansur Syah mengutuskan Tun Telanai dan Menteri Jana Putera, terlencung ke Brunai kerana berlaku ribut besar. Raja Brunai bertanya tentang isi surat Sultan Melaka kepada Raja China. Tun Telanai mengatakan surat itu berbunyi
“Sahaya raja Melaka empunya sembah, datang kepada paduka ayahanda raja China”. Bertanya raja Brunai lagi, “berkirim sembahkan raja Melaka pada raja China?” Menteri Jana Putera menjelaskan maksud surat itu ialah “sahaya atau hamba” yang menyembah raja Melaka. Oleh itu, raja Brunai pun memberi sembah kepada Sultan Mansur Syah.
Kedal Kerana Tulah
Raja China yang menerima perutusan sembah Sultan Mansur Syah jatuh sakit kedal (sejenis penyakit kulit yang meninggalkan kesan bertelau-telau pada kulit). Tabib menyatakan hanya air basuhan tapak kaki Sultan Mansur Syah berjaya menyembuhkannya. Kemudian utusan dikirim ke Melaka untuk memohon air basuh tapak kaki Sultan Mansur Syah. Penyakit kedal raja China segera sembuh setelah raja China minum dan mandi air basuh tapak kaki Sultan Mansur Syah.
Sinopsis Sulalatus Salatin Bab VII
Hang Jebat Kesiangan di Istana
Ketiadaan Hang Tuah, Hang Jebat bertindak menderhaka kepada Sultan Mansur Syah dengan tujuan untuk membalas dendam atas kematian Hang Tuah. Beberapa cubaan dilakukan untuk membunuh Hang Tuah, tetapi gagal. Sultan Mansur Syah terkenangkan Hang Tuah. Oleh itu Seri Nara Diraja memberitahu bahawa Hang Tuah sebenarnya masih hidup. Sultan Mansur Syah sanggup memaafkan Hang Tuah. Maka Hang Tuah pun dikeluarkan dari pasungan untuk menghapuskan Hang Jebat. Hang Tuah yang pulang ke Melaka menyatakan kesanggupannya untuk menghapuskan Hang Jebat.
Pertarungan Hang Tuah-Hang Jebat
Hang Jebat terkejut dengan kedatangan Hang Tuah ke istana, kerana disangkakannya Hang Tuah sudah mati. Hang Tuah cuba menaiki istana, tetapi baharu semata dua anak tangga dia naik sudah diterpa oleh Hang Jebat. Akhirnya Hang Tuah dibenarkan menaiki istana. Berlaku pertarungan hebat antara mereka berdua. Dua tiga kali keris Hang Tuah tertikam pada tiang dan dinding, Hang Jebat membenarkan Hang Tuah menanggalkan kerisnya. Pada suatu ketika keris Hang Jebat tertikam di dinding. Hang Tuah secepat kilat terus menikam belakang Hang Jebat yang membawa kematiannya. Mayat Hang Jebat dibuang ke laut dan anak bininya turut dibunuh, kaki tiang rumah dan tanah bekas rumah Hang Jebat digali dan dibuang ke laut. Sultan Mansur Syah telah menganugerahkan Hang Tuah dengan gelaran “Laksamana”. Kemudian Sultan Mansur Syah menitahkan Bendahara membina istana yang baru bagi menggantikan istana lama yang dirampas oleh Hang Jebat.
Istana Sultan Mansur Syah Terbakar
Semasa melawat istana itu, baginda mendapati salah satu rasuk istana itu kecil. Hal ini menimbulkan rasa kurang senang di hati baginda. Tun Indera Segala segera memaklumkan hal itu kepada Bendahara Paduka Raja lalu Bendahara sendiri menggantikan rasuk itu. Tidak lama selepas diduduki, istana itu terbakar. Ini menyebabkan Sultan Mansur Syah menitahkan Bendahara Paduka Raja menyiapkan sebuah istana baru sebagai menggantikan istana yang terbakar.
Ramalan Bendahara Paduka Raja
Tidak lama kemudian, Seri Nara Diraja jatuh sakit. Sebelum meninggal dunia, beliau telah meminta Bendahara Paduka Raja membahagikan hartanya berupa emas lima buah candu peti. Dua orang anaknya, iaitu Tun Mutahir dan Tun Tahir juga diserahkan kepada Bendahara untuk menjaganya. Bendahara Tun Perak meramalkan bahawa Tun Mutahir akan menjadi orang besar-besar pada suatu hari nanti, tetapi gelaran itu tidak kekal pada dirinya. Ramalan itu berdasarkan suatu peristiwa. Ketika Bendahara Paduka Raja dalam perjalanan untuk sembahyang subuh, Bendahara lihat kepala Tun Mutahir bercahaya terus ke langit. Setelah dihampiri, cahaya itu pun padam. Apabila Tun Mutahir dan Tun Tahir dewasa, Bendahara menyerahkan harta pusaka yang diwasiatkan oleh ayahanda mereka Seri Nara Diraja. Tun Tahir kemudiannya dilantik sebagai Penghulu Bendahari dengan gelaran Seri Nara Diraja, manakala Tun Mutahir pula dilantik sebagai Temenggung dengan gelaran Seri Maharaja.
Akibat Tiada Menyembah Ke Melaka
Maharaja Jaya yang memerintah negeri Kampar tidak menyembah ke melaka. Ini menyebabkan Sultan mansur Syah menitahkan Seri Nara Diraja Tun Tahir menyerang Kampar. Dalam serangan tersebut Maharaja Jaya dan Mangkubuminya Tun Demang berjaya dibunuh oleh Seri Nara Diraja dan Khoja Baba. Akhirnya Kampar ditawan.
Sesudah Kampar, Siak Pula
Maharaja Parameswara, pemerintah Siak enggan menyembah ke Melaka. Lantaran itu, Sultan Mansur Syah menitahkan Seri Udana menyerang Siak dan Maharaja Parameswara mati dibunuh oleh Akhtiar Muluk. Anaknya Megat Kudu ditawan dan dibawa ke Melaka. Megat Kudu kemudiannya dikahwinkan dengan Raja Mahadewi puteri Sultan Mansur Syah. Baginda kemudiannya dijadikan raja Siak dengan gelaran Sultan Ibrahim.
DiTolak Bumi Melaka
Pada suatu hari Raja Muhammad berkuda di Kampung Bendahara Paduka Raja. Tiba-tiba bola raga yang disepak oleh Tun Besar anak Bendahara Paduka Raja terkena destar Raja Muhammad lalu jatuh ke tanah. Raja Muhammad murka lalu membunuh Tun Besar. Tindakan Raja Muhammad menimbulkan kemarahan anak buah Bendahara dan berpakat untuk menuntut bela, tetapi ditegah oleh Bendahara, dengan alasan “hamba Melayu tidak pernah derhaka”. Walau bagaimanapun, Bendahara Paduka Raja menegaskan bahawa Raja Muhammad itu usah diakui sebagai raja. Sultan Mansur Syah akur dengan kehendak Bendahara lalu Raja Muhammad dihantar ke Pahang dan dilantik sebagai raja di sana dengan gelaran Sultan Muhammad Syah.
Juara Catur
Tun Bahara (orang Pasai) sangat pandai bermain catur, datang ke Melaka. Tidak ada seorang pun yang berjaya mengalahkannya kecuali Tun Pikrama anak Bendahara Paduka Raja.
DiSuruh Merompak Ke Hujung Tanah
Kisah Semerluki di Mengkasar yang diperintah oleh Keraeng Majiko. Semerluki telah jatuh berahi pada isteri ayahandanya (Keraeng Majiko) yang bongsu. Keraeng Majiko menyuruh Semerluki mencari perempuan seiras ibu tiri yang dicintainya. Banyak tanah jajahan Melaka dimusnahkan oleh Semerluki. Oleh itu, Sultan Mansur Syah menitahkan Hang Tuah memerangi Semerluki dan akhirnya Semerluki kembali ke Mengkasar.
Kitab Duri’l Mazlum
Maulana Abu Ishak seorang ulama mekah menyuruh anak muridnya Maulana Abu Bakar membawa Kitab Duri’l Mazlum ke Melaka. Sultan Mansur Syah menyambut baik kedatangan Maulana Abu Bakar, malah Kitab Duri’l Mazlum diarak secara besar-besaran ke istana. Kemudian baginda sendiri berguru pada Maulana Abu Bakar. Kitab ini juga telah dibawa ke Pasai untuk diterjemahkan oleh Makhdum Patakan. Semua pembesar Melaka berguru pada Maulana Abu Bakar kecuali Kadi Yusoff.
Walau bagaimanapun akhirnya Kadi Yusoff berguru juga pada Maulana Abu Bakar. Ini berlaku setelah dia terlihat suatu keajaiban berlaku pada diri Maulana Abu Bakar, yang dikelilingi oleh cahaya seperti sumbu dian. Tun Bija Wangsa diutus ke Pasai kerana baginda ingin mengetahui suatu masalah, iaitu samada isi syurga dan neraka akan kekal di dalamnya atau sebaliknya. Persoalan tersebut telah dijawab oleh Makhdum Mua.
Sinopsis Sulalatus Salatin Bab VIII
Raja Cempa dan Zuriatnya
Raja Cempa kehairanan melihat mayang pinang yang semakin besar, tetapi tidak juga mengurai. Raja Cempa menitahkan seorang hambanya menurunkan mayang berkenaan untuk dilihat apa di dalamnya. Setelah dibelah terdapat seorang bayi lelaki di dalamnya dan Raja Cempa menamakannya sebagai Pau Gelang. Terdapat suatu keanehan yang mana Pau Gelang hanya boleh disusui dengan susu lembu sahaja.Ini telah ,mentebabkan orang Cempa tidak makan daging lembu.
Pau gelang berkahwin dengan Pau Bania dan telah menggantikan Raja Cempa. Baginda dikurniakan anak lelaki iaitu Pau Tari. Kemudian Pau Tari berkahwin dengan Bia Suri anak raja Kuci dasn memperolehi seorang anak lelaki diberi nama Pau Gama. Pau Gama berkahwin pula dengan Raden Galuh Adjeng anak Betara Majapahit dan memperolehi seorang anak diberi nama Pau Kubah. Semasa pemerintahan Pau Kubah berlaku peperangan antara Orang Cempa dengan orang Kuci kerana menolak pinangan Pau Kuci. Pau Kiubah mati dibunuh dan kedua orang puteranya melarikan diri. Syah Pau Ling lari ke Acheh manakala Syah Indera Berma lari ke Melaka.
Gema Peristiwa Rampas Kuasa Di Pasai
Sultan Zainal Abidin meminta bantuan Melaka untuk mengembalikan permerintahan Parsai yang dirampad oleh adindanya Raja Muda.. Sultan Mansur Syah menghantar angkatan perang yang diketuai Bendahara Paduka Raja ke Pasai. Raja Muda berjaya dikalahkan dan Sultan Zanal Abidin kembali berkuasa sebagai raja Pasai. Namun, baginda enggan mengaku sembah ke bawah Sultan Mansur Syah Melaka.
Ketika angkatan Melaka ingin pulang, Raja Muda merampas takhta untuk kali kedua. Bendahara Paduka Raja enggan menolong kerana tidak puas hati dengan Sultan Zainal Abidin kerana enggan menyembah Sultan Melaka. Ekoran dari itu berlaku perselisihan faham (konflik) antara Bendahara Paduka Raja dengan laksamana Hang Tuah. Apabila kembali ke Melaka Laksamana memburuk-burukkan Bendahara. Walau bagaimanapun akhirnya laksamana meminta maaf daripada Bendahara akibat tindakan itu.
Wasiat Sultan Mansur Syah
Sebelum mangkat, Sultan Mansur Syah merancang untuk melantik puteranya Raden Kelang sebagai penggantinya. Tetapi sayangnya Raden Kelang mati terbunuh ketika bertikam dengan orang mengamuk. Tidak lama kemudian, Sultan Mansur Syah gering. Baginda mewasiatkan Raja Ahmad (timang-timangan Raja Hussain) sebagai pengganti baginda. Banyak pesanan yang ditinggalkan antaranya menyuruh Raja Hussain adil dalam pemerintahan, sabar, tidak tamak harta dan bermuafakat dengan pembesar.
Pemerintahan Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah
Selepas kemangkatan Sultan Mansur Syah, Raja Hussain dilantik sebagai raja Melaka dengan gelaran Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah. Baginda digambarkan seorang raja yang berani, perkasa, bertanggung jawab. Paa masa pemerintahan baginda, kejadian kecurian berlaku secara berleluasa di Melaka. Masalah ini membimbangkan baginda lalu baginda menyamar untuk membasmi pencuri . Baginda ditemani oleh Hang Isap dan Hang Ishak. Ketika menyamar itu, baginda terserempak dengan lima orang pencuri yang sedang mengusung sebuah peti. Dua orang pencuri berjaya dibunuh oleh baginda, seorang pencuri dibunuh oleh Hang Isap dan dua orang lagi berjaya melarikan diri.
Langkah Membasmi Pencuri.
Pada keesokan harinya, Temenggung Seri Maharaja Tun Tahir telah ditegur oleh Sultan Alau’d-Din atas kecuaian beliau menjaga keselamatan Melaka, sehingga tidak mengetahui peristiwa pembunuhan tiga orang pencuri. Baginda kemudiannya telah menitahkan Hang Isap dan Hang Ishak mengambil peti yang dirampas daripada pencuri itu lalu dikembalikan kepada pemilik asalnya, iaitu seorang saudagar yang bernama Ki Tarambulum.
Hasil daripada teguran Sultan Alau’d-Din itu, Temenggung Seri Maharaja telah melakukan kawalan yang ketat serta bertindak tegas terhadap orang ramai. Beliau tidak akan menangkap orang yang keluar pada waktu malam, sebaliknya terus membunuh mereka. Tindakan ini berjaya mengembalikan keamanan negeri Melaka.
Sultan Alau’d_Din kemudiannya menitahkan Bendahara Paduka Raja membina sebuah balai di simpang empat di tengah-tengah negeri Melaka sebagai tempat meletakkan barang-barang yang tercicir supaya dapat diambil oleh tuannya semula. Baginda juga telah memperkenalkan undang-undang potong tangan terhadap orang yang tidak mengembalikan harta yang ditemukan, sama ada kepada tuannya semula ataupun ke balai yang telah disediakan itu.
Akibat Salam Dibacakan Sembah
Maharaja Diraja, pemerintah kerajaan Haru mengutuskan Raja Pahlawan menghantar surat perutusan ke Pasai. Di Pasai, surat perutusan yang berbunyi “salam paduka kekanda” telah dibaca oleh Khatib Pasai dengan kalimat “Paduka Kekanda empunya sembah, datang kepada adinda”. Hal ini tidak disenangi oleh Raja Pahlawan. Walaupun beberapa kali ditegur dan disindir oleh Raja Pahlawan, Khatib Pasai tetap membacanya dengan kalimat yang sama. Akhirnya Raja Pahlawan tidak dapat mengawal perasaannya lalu beliau mengamuk dan membunuh beberapa orang yang berada di balai itu. Walau bagaimanapun, Raja Pahlawan dan beberapa orang temannya dapat dibunuh oleh orang-orang Pasai.
Maharaja Diraja kemudiannya menitahkan hulubalangnya Seri Indera menyerang tanah jajahan Pasai dan Melaka, termasuklah kawasan antara Jugra ke Tanjung Tuan. Jesteru itu, Sultan Alau’d-Din bertindak balas dengan menitahkan Paduka Tuan (anak Bendahara Paduka Raja), Laksamana Hang Tuah, dan Seri Bija Diraja memimpin angkatan tentera untuk mengawal perairan Melaka. Akhirnya mereka berjaya mengusir angkatan tentera Haru sampai ke perairannya.
Mia Ruzul Dengan Kambing Randuk
Kekalahan tentera Haru menimbulkan kemarahan Maharaja Diraja, lalu sekali lagi baginda menitahkan hulubalangnya menyerang Melaka. Angkatan Melaka pula, setelah berjaya mengusir tentera Haru, berlabuh di Pangkalan Dungun. Berlaku kisah lucu yang ditimbulkan oleh Mia Ruzul yang berbangsa keling. Semasa dia hendak buang air, ada seekor kambing randuk sedang meragut makanan di dalam semak. Mia Ruzul terkejut dengan kehadiran kambing randuk yang disangkakannya ‘orang tua Haru’ mengintainya ketika dia membuang air besar, menyebabkan dia pun melarikan diri dari tempat itu.
Tindakan Mia Ruzul telah mengejutkan rakan-rakannya sehingga menyebabkan mereka menghunus senjata masing-masing. Apabila ditanya oleh rakan-rakannya, dia menerangkan keadaan yang sebenarnya dalam pelat India,’Kita tumu Haru tua, kita hudap dia zughul, kita zughul dia hudap’, yang bermaksud,’saya bertemu dengan seorang Haru tua, saya menghendap dia menunduk, saya menunduk dia menghendap’. Peristiwa ini menimbulkan geli hati di kalangan rakan-rakannya.
Tidak lama kemudian, tentera Haru menyerang angkatan tentera Melaka, namun mereka berjaya ditewaskan oleh angkatan Melaka. Hal ini mendorong Maharaja Diraja berdamai dengan Melaka.
Ketiganya Sama gagah
Kisah raja Maluku, Telanai Terengganu dan Sultan Alau’d-Din Riayat Syah yang ada kehebatan masing-masing. Raja Maluku yang mendapat perlindungan di Melaka adalah seorang raja yang gagah perkasa dan pandai bermain sepak raga. Telanai Terengganu juga gagah perkasa sehingga jika nyiur ditikamnya dengan lembing terus terbelah. Begitu juga dengan Sultan Alau’d-Din ada miliki kehebatan yang dapat memanah nyiur sehingga terbayang ke sebelah.
Kedatangan Telanai ke Melaka, tanpa pengetahuan Sultan Muhammad Pahang menyebabkan beliau telah dibunuh oleh Seri Akar Diraja kerana kesalahannya itu. Sultan Alau’d-Din murka dan cuba menyerang Pahang, tetapi dinasihati Tun Perak yang mencadangkan supaya menghantar Laksamana Hang Tuah ke Pahang.
Gema Pembunuhan Telanai Terengganu
Utusan Melaka yang diketuai oleh Laksamana Hang Tuah disambut baik oleh Sultan Muhammad Pahang. Semasa berada di Pahang, Laksamana Hang Tuah menyuruh salah seorang daripada orangnya membunuh saudara Seri Akar Diraja. Hang Tuah memberi amaran agar pembunuh itu tidak diapa-apakan kerana kesalahan Seri Akar Diraja membunuh Telanai tanpa pengetahuan Sultan Melaka. Sultan Muhammad Pahang cuba berhelah dengan mengatakan bahawa Telanai dibunuh atas sebab kelancaran mulutnya yang kononnya mendakwa Melaka di bawah kelengkapannya. Sultan Pahang akhirnya mengirim surat kepada raja Melaka.
Sinopsis Sulalatus Salatin Bab IX
Membunuh Tanpa Memberitahu Ke Melaka
Raja Ibrahim yang memerintah negeri Siak menitahkan Tun Jana Pakibul membunuh rakyat Siak tanpa pengetahuan sultan Melaka. Ini menyebabklan sultan Alau’d-Din murka lalu menitahkan Laksamana Hang Tuah ke Siak bagi mengajar perbuatan raja Siak itu. Sultan Ibrahim menginsafi kesilapan yang dilakukannya lalu mengutus surat memohon maaf. Sultan Alau’d-Din kemudiannya berwasiat agar melantik raja Mamad sebagai penggantinya.
Pemerintahan Sultan Mahmud Syah
Raja Mamad ditabalkan sebagai raja Melaka dengan gelaran Sultan Mahmud Syah. Di awal pemerintahannya sudah menampakkan peribadi baginda yang bersifat kejam. Seri Bija Diraja (Singapura) tidak hadir pada hari pertabalan menyebabkan Sultan Mahmud Syah berdendam dengannya. Ketika Sultan Mahmud Syah gering, Bendahara Paduka Raja dan Laksamana Hang Tuah menjaganya sehingga sembuh.
Bendahara Paduka Raja Dengan Laksamana
Apabila Sultan Mahmud Syah sembuh, baginda menganugerahkan Bendahara dan Laksamana sebuah usungan seorang.Digambarkan perbezaan sikap antara Bendahara dengan Laksamana, kerana Bendahara tidak menggunakan usungan berbanding dengan Laksamana Hang Tuah. Ini kerana, Bendahara tidak ingin rakyat membuat tanggapan bahawa tarafnya adalah sama dengan raja. Selain itu, apabila mendapat hadiah seperti senjata dan perahu, Bendahara akan menghadiahkannya kepada Laksamana, dengan harapan Laksamana dapat menentang musuh dengan jayanya.
Wasiat Bendahara Paduka Raja
Semasa sakit, Bendahara Paduka Raja meninggalkan wasiat kepada pembesar dan Sultan Mahmud Syah supaya memerintah dengan adil dan berpegang kepada agama Islam. Setelah Bendahara Paduka Raja mati, Tun Perpatih Putih dilantik sebagai Bendahara Melaka (Bendahara Putih).
Nyaris Lembing DiTerbangkan Ke Dada
Sultan Mahmud Syah yang bernafsu buas telah melakukan zina dengan isteri Tun Biajid (anak Laksamana Hang Tuah). Peristiwa ini berlaku ketika Tun Biajid berada di Merba. Sewaktu pulang ke rumah pada waktu dinihari, Tun Biajid bertembung dengan Sultan Mahmud dan mengetahui bahawa Sultan Mahmud berzina dengan isterinya. Ini menyebabkan Tun Biajid hampir membunuh Sultan Mahmud tetapi beliau masih enggan menderhaka. Walau bagimanapun beliau enggan menyembah Sultan Mahmud. Selepas kejadian itu, Tun Biajid menjatuhkan talak ke atas isterinya. Selain itu, Sultan Mahmud juga membuat hubungan dengan Tun Dewi. Peristiwa ini telah melahirkan konflik antara Sultan Mahmud dengan Tun Ali Sandang. Kemuncak daripada konflik tersebut berlaku apabila Tun Ali sandang dibunuh oleh Tun Isap atas titah Sultan Mahmud Syah.
Seri Wak Raja (keluarga ) cuba menuntut bela atas kematian Tun Ali Sandang. Sultan Mahmud Syah menitahkan supaya Tun Isap melarikan diri ke Pasai untuk menyelamatkan dirinya daripada dibunuh oleh Seri Wak Raja. Dari Pasai, Tun Isap pergi ke Haru dan Brunei. Selepas itu Tun Isap kembali semula ke Melaka dan akhirnya, Tun Isap dibunuh oleh Seri Wak Raja. Sultan Mahmud juga mengamalkan sikap pilih kasih Antara pembesar yang dikasihi baginda ialah Seri Wak Raja, Tun Umar, Hang Is Pantas dan Hang Hussain Cengang
Telatah Orang-Orang Yang DiKasihi Raja
Seri Wak Raja adalah orang kesayangan Sultan Mahmud Syah. Oleh itu dia sentiasa melengah-lengahkan perintah sultan Apabila datang titah sultan supaya mengadap, orang-orang suruhan raja terpaksa menunggu lama kerana adapt Seri Wak Raja, ia akan naik ke rumah dulu berbaring-baring dan kadang-kadang tertidur. Apabila dinbangkitkan oleh hamba raja, barulah ia berpakaian, iaitu dua tiga belas kali menyalin pakaiannya belum selesai. Walau apa pun kelakuan Seri Wak Raja, sultan Mahmud Syah tidak pernah murka kerana ia merupakan pembesar yang amat dikasihi raja.
Sultan Mahmud Syah juga mudah berkecil hati dan bersifat pendendam. Misalnya baginda telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Seri Bija Diraja kerana kesalahan lewat datang mengadap pada hari raya. Dia berbuat demikian kerana menyangka hari raya akan jatuh pada keesokan harinya. Ini menyebabkan Sultan Mahmud Syah murka dan berdendam dengan Seri Bija Diraja kierana sewaktu baginda ditabalkan menjadi raja, Seri Bija Wangsa tidak ada di Melaka.
Walau bagaimanapun Sultan Mahmud Syah juga digambarkan cintakan agama dan ilmu pengetahuan. Contohnya, Baginda menyamar sebagai fakir untuk berguru dan menuntut ilmu agama dengan Maulana Yusuf.
Manjung dan Kelantan DiSerang
Sultan Mahmud Syah menitahkan Paduka Tuan supaya menyerang dan menakluki Manjong dan Beruas. Kemudian baginda menitahkan Seri Maharaja menyerang dan menakluki Kelantan kerana rajanya tidak menyembah ke Melaka. Raja Kelantan ditawan dan dibawa ke Melaka.
Sinopsis Sulalatus Salatin Bab X
Tun Mutahir DiJadikan Bendahara
Selepas kematian Bendahara Putih, Tun Mutahir telah dilantik menjadi Bendahara Melaka dengan gelaran Seri Maharaja. Tu7n Mutahir dilantik atas nasihat bonda Sultan Mahmud (Tun senaja, iaitu saudara Tun Mutahir), walaupun ramailagi pembesar lain yang mempunyai kelayakan yang sama. Bemdahara Seri Maharaja miliki rupa paras yang tampan dan cantik. Beliau juga digambarkan sebagai Bendahara yang yang berhias dan cerewet dalam soal berpakaian. Di bawah pentadbirannya, Melaka menjadi semakin maju dan makmur.
Titisan Keturunan Bendahara Seri Maharaja.
Bendahara Seri Maharaja dikatakan mempunyai bilangan anak yang ramai dan kebanyakannya menjawat jawatan besar di istana. Contoh, aanak sulungnya Tun hassan g memegang jawatan sebagai Temenggung.
Peristiwa Patih Adam dengan Tun Minda
Kisah berlaku ketika Patih Adam mengadap raja Melaka. Ketika berada di Balai Seri Nara Diraja, Tun Minda lalu di hadapan Patih Adam. Seri Nara Diraja secara berseloroh mengatakan pada Patih Adam bahawa Tun Minda ingin berkahwin dengan Patih Adam. Selepas itu, Patih Adam kembali ke Surabaya menunggu Tun Minda dewasa. Apabila Tun Minda sudah cukup umur, Patih Adam datang semula ke Melaka dan menuntut janji daripada Seri Nara Diraja. Patih Adam amat marah apabila Seri Nara Diraja mengatakan bahawa ianya hanyalah gurauan semata. Patih Adam mencari helah untuik mendapatkan Tun Minda. Patih Adam mengugut untuk menganiayai dan mengancam ingin memperkosa Tun Minda sekiranya Seri Nara Diraja enggan mengahwinkan beliau dengan Tun Minda. Akhirnya Seri Nara Diraja bersetuju mengahwinkan Patih Adam dengan anaknya Tun Minda. Patih Adam amat menyayangi Tun Minda dan meminta izin dari Seri Nara Diraja untuk membawa Tun Minda ke Surabaya.
Meminang Puteri Gunung Ledang
Selepas kemangkatann permaisuri, Sultan Mahmud amat berdukacita. Para pembesar telah sepakat untuk mencari pengganti permaisuri dan mempersembahkan kepada Sultan Mahmud, tetapi tiada seorang pun yang diperkenankan oleh baginda. Baginda kemudiannya menghantar utusan untuk meminang Puteri Gunung Ledang, yang diketuai Tun Mamad, Hang Tuah dan Sang Setia. Hanya Tun Mamat yang berjaya sampai ke puncak dan berjumpa dengan perempuan tua berlipat tiga. Tun Mamad menyatakan hasratnya untuk meminang Puteri Gunung Ledang untuk dikahwinkan dengan Sultan Melaka.
Perempuan tua tersebut telah menyatakan syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh Sultan Mahmud. Antaranya, membina satu jambatan emas dan satu jambatan perak dari Melaka ke Gunung Ledang, tujuh dulang hati nyamuk, tujuh dulang hati kuman, air mata setempayan, air pinang muda setempayan dan darah putera raja (Raja Ahmad) se mangkuk. Semua syarat sanggup dipenuhi kecuali semangkuk darah Raja Ahmad, kerana Sultann Mahmud tidak sampai hati mencederakan darah dagingnya sendiri. Oleh itu peminangan Puteri Gunung Ledang dibatalkan.
Tepuk Berbalas, Alang Berjawat
Kisah raja Inderagiri (sultan Nara Singa) berkahwin dengan peteri Melaka. Tetapi baginda bertkecil hati dengan sikap pembesar Melaka yang memperlakukan orang-orang Inderagiri seperti hamba. Baginda pulang semula ke Inderagiri dan menghalau raja Ingeragiri. Iaitu Maharaja Isap. Maharaja Isap melarikan diri ke Lingga dan kedua pihak masih berperang. Sultan Mahmud menitahkan agar mereka berdamai.
Hang Nadim DiTitahkan Ke Benua Keling
Sultan Mahmud mengutuskan Hang Nadim ke Keling untuk membeli kain serasah sebanyak 40 bagai. Pada setiap bagai sebanyak 40 helai dan pada sehelai 40 bagai jenis corak bunga. Hang Nadim menumpang kapal dagang Hang Isap. Di Keling, Hang Nadim tidak berkenan dengan corak kain yang dilukis oleh pelukis-pelukis Keling, sehinggalah corak baru dilukis sendiri oleh Hang Nadim. Sekali lagi Hang Nadim menumpang kapal Hang Isap. Sebelum itu, Hang Isap bertelagah dengan seorang wali mengenai hutang piutang. Dalam pelayaran pulang, kapal Hang Isap karam kerana sumpahan wali. Hang Nadim hanya berjaya menyelamatkan empat helai kain. Sultan Mahmud murka kerana Hang Nadim masih menumpang kapal yang sudah disumpahi wali itu. Hang Nadim dianggap telah berdosa kerana gagal menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya. Diceritakan juga tentang kematian Hang Tuah yang diganti oleh Khoja Hassan.
Sulalatus Salatin Bab XI
Seri Wak Raja Dengan Gajah Pahang
Sultan Mahmud menitahkan Seri Wak Raja ke Pahang untuk merajakan Sultan Abdul Jamal. Di Pahang, beliau menunjukkan kepandaian menjinakkan gajah. Apabila pulang ke Melaka, Seri Wak Raja menceritakan tentang kecantikan rupa paras Tun Teja Ratna Menggala anak Bendahara Seri Amar Bangsa Diraja. Namun Tun Teja telah ditunangkan dengan Sultan Abdul Jamal, sekadar menunggu musim yang baik untuk melangsungkan perkahwinan.
Peri Cantiknya Partas Anak Bendahara Pahang
Sultan Mahmud berahi dan ingin memperisterikan Tun Teja, lalu Baginda mengeluarkan titah,’barang siapa membawa anak Bendahara Pahang itu ke mari, apa yang dikehendakinya kita anugerahi akan dia; umpamanya jika ia kehendakkan sekerat kerajaan kita sekali pun kita anugerahkan; dan apa pun dosanya tiada kita bunuh. Hang Nadim ada di bawah penghadapan dan berazam akan membawa lari Tun Teja ke Melaka untuk dipersembahkan pada Sultan Mahmud agar dosanya akan diampunkan.
Hang Nadim menumpang kapal Nakhoda Saiyid Ahmad ke Pahang. Ketika berada di pahang, Hang Nadim mendapat pertolongan seorang perempuan tua pelulut dengan menyapu ubat guna-guna pada badan Tun Teja. Sebelumnya, Hang Nadim memberi emas dan pakaian yang cantik-cantik kepada tukang pelulut. Setelah terkena ubat guna-guna, Tun Teja bersetuju untuk mengikut Hang Nadim lari ke Melaka.
Tun Teja Dilarikan Ke Melaka
Hang Nadim membawa lari Tun Teja ke Melaka dengan menumpang kapal Nakhoda Saiyid Ahmad. Banyak halangan terpaksa ditempuhi sepanjang merentasi Sungai Pahang.
Pertempuran Di Laut Pulau Keban
Setelah menyedari Tun Teja dilarikan, Sultan Abdul Jamal bertindak mengejar kapal Nahkoda Saiyid Ahmad. Sampai di Pulau Keban berlaku pertempuran hebat yang dimenangi oleh Hang Nadim dan meneruskan pelayaran ke Melaka. Tun Teja dipersembahkan kepada Sultan Mahmud dan kemudian mereka berkahwin. Sultan Mahmud amat menyayangi Hang Nadim yang telah berjasa.
Gajah Sultan Pahang Pula DiLarikan
Sultan Abdul Jamal sangat murka dan berhasrat untuk menyerang Melaka dengan Gajah Ai Kening. Baginda menitahkan Bendahara Pahang supaya berlengkap dengan angkatan perang untuk menyerang Melaka. Sambil menunggang gajah, dilanggarnya balairung istana Pahang hingga roboh. Di Melaka pula, Sultan Mahmud menitahkan hulubalangnya ke Pahang untuk mencuri gajah Sultan Abdul Jamal. Laksamana Khoja Hassan bersetuju melaksanakan tugas tersebut.
Laksamana Khoja Hassan ke Pahang membawa surat daripada Sultan Mahmud. Apabila ditanya cadangan raja Pahang untuk menyerang Melaka, Sultan Abdul Jamal menafikan khabar tersebut. Di Pahang, Laksamana menambat perahu dekat dengan gembala gajah raja memandikan gajah saban hari. Laksamana juga berbaik-baik dengan gembala gajah raja dengan memberi emas dan makanan. Setelah beberapa hari berada di Pahang, Laksamana mohon pulang ke Melaka. Gajah Ai Kening berjaya di bawa naik perahu oleh Laksamana Khoja Hassan dan dibawa belayar ke Melaka.
Bersyaikh Diri Di Lubuk Pelang
Sultan Abdul Jamal amat murka dengan kehilangan gajah Ai Kening. Baginda menitahkan hulubalang Pahang yang diketuai Seri Akar Diraja dan Tun Aria mengejar perahu Laksamana Khoja Hassan. Berlaku peperangan hebat antara kedua-dua pihak dan akhirnya angkatan Pahang tewas. Lantara itu Sultan Abdul Jamal sangat kecewa lalu melepaskan jawatan dan lari dari istana. Anakanda baginda (Raja Mansur) dilantik sebagai raja Pahang bergelar Sultan Mansur Syah. Baginda kemudiannya menjadi syeikh di Lubuk Pelang, iaitu ditempat nobat tidak kedengaran lagi.
Rahsia Pembunuhan Raja Zainal
Ketampanan Raja Zainal (adinda Sultan Mahmud) tiada taranya, sehingga dapat menawan (menambat) hati setiap perempuan. Ini membuatkan Sultan Mahmud rasa cemburu. Lantaran itu, baginda menitahkan Hang Berkat penjaga pintu istana membunuh Raja Zainal. Hang Berkat telah melaksanakan titah tersebut ketika Raja Zainal sedang tidur.
Sultan Mahmud Serba Salah
Pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud, banyak berlaku masalah keruntuhan moral seperti berzina yang dilakukan oleh sultan sendiri dan pembesar-pembesarnya. Contohnya, isteri Sang Sura telah berzina dengan Sang Guna. Setelah mendapat tahu isterinya berzina, Sang Sura ingin mengadang dan membunuh Sang Guna. Tetapi harsatnya dihalang oleh Sultan Mahmud kerana sayangnya kepada Sang Guna yang pandai menempa keris Melaka. Oleh itu, Sang Guna dikenakan hukuman tidak boleh keluar rumah oleh baginda, kecuali atas arahan sultan. Hal ini menyebabkan Sang Guna tertekan jiwanya dan berkata lebih baik ia dibunuh sahaja oleh Sang Sura daripada berkurung dalam rumah.
Sinopsis Sulalatus Salatin Bab XII
Raja Legor Gagal Menyerang Pahang
Raja Siam telah menitahkan Raja Legor, iaitu Maharaja Dewa Sura supaya menyerang negeri Pahang. Rancangan ini terdengar ke Melaka, lantas Sultan Mahmud Syah menitahkan Bendahara Seri Maharaja dan angkatan Melaka membantu Pahang. Akhirnya angkatan Melaka dan Pahang berjaya mematahkan serangan Siam dan ramai hulubalang Legor mati dalam peperangan tersebut.
Biadap di Hadapan Bendahara
Tun Perpatih Hitam berbicara dengan seorang dagang di hadapan Bendahara Seri Maharaja. Oleh kerana tidak berpuas hati, Tun Perpatih Hitam telah menunjukkan kebiadabannya dengan menguis tikar di hadapan Bendahara. Jesteru itu dia dibunuh oleh Laksamana Khoja Hassan. Ini menyebabkan Tun Hussain mengamuk atas pembunuhan bapanya. Akibatnya dia turut dibunuh oleh Laksamana Khoja Hassan.
Zuriat Laksamana Hang Tuah
Laksamana Hang Tuah mempunyai dua orang isteri dan ramai anak. Salah seorang daripada zuriatnya, iaitu Tun Daerah berkahwin dengan Sultan Mahmud Syah
Raja Petani dan Raja Kedah DiNobatkan
Kota Mahligai yang diperintah oleh Raja Sulaiman Syah telah diserang dan ditakluki oleh Cau Seri Bangsa (putera Raja Siam). Raja Sulaiman telah dibunuh oleh Cau Seri Bangsa. Kemudian Cau Seri Bangsa memeluk Islam dan membuka negeri baru dinamakan Petani (Pak Tani). Cau Seri Bangsa kemudiannya menghantar utusan ke Melaka dan Sultan Mahmud Syah bersetuju menobatkan Cau Seri Bangsa sebagai raja Petani bergelar Sultan Seri Ahmad Syah. Selepas itu, Raja Kedah juga datang ke Melaka untuk memohon nobat dan telah diperkenankan oleh Sultan Mahmud Syah.
Kebesaran Melaka dan Kedatangan Peringgi
Sebuah kapal Peringgi dari Goa datang berdagang di Melaka. Setelah kembali semula ke Goa, mereka menceritakan tentang kebesaran dan kemakmuran negeri Melaka. Ini menyebabkan Alfonso d’Albuqueque, Wizurai Peringgi di Goa mengarahkan supaya menyusun angkatann perang untuk menyerang Melaka. Namun angkatan Peringgi yang dipimpin Kapitan Mor gagal menakluki Melaka kerana kehebatan dan kebijaksanaan Bendahara Seri Maharaja.
Makhdum Dipersenda Muridnya
Maulana Sadar Jahan adalah seorang Pendeta dari Mekah datang ke Melaka. Ketika berada di Melaka, beliau mengajar bahasa Arab kepada Raja Melaka dan para pembesar. Salah seorang muridnya ialah Tun Mai Ulat Bulu. Beliau sering dimarah oleh Makhdum Sadar Jahan kerana gagal menyebut bahasa Arab yang diajarnya. Walau bagaimanapun Tun Mai Ulat Bulu berjaya memalukan gurunya apabila gurunya gagal untuk menyebut beberapa perkataan dalam bahasa Melayu dengan betul, seperti ‘kucing’, ‘kunyit’, dan ‘nyiru’.
Bertanya Satu Masalah Agama Ke Pasai
Sultan Mahmud Syah mengutuskan Orang Kaya Tun Muhammad ke Pasai untuk bertanyakan satu masalah agama berkaitan dengan akidah. Permasalahan tersebut telah dijawab oleh Tun Hassan dengan cara membisikkan jawapannya kepada Orang kaya Tun Muhammad.
Sinopsis Sulalatus Salatin Bab XIII
Tun Fatimah Anak Bendahara Seri Maharaja
Kecantikan Tun Fatimah tiada taranya di Melaka ketika itu. Rupa parasnya elok dan tiada cacat celanya, sedap manis pantas pangus seperti laut madu, bertasik susu, berpantaikan sakar. Manakala mukanya pula bercahaya berkilat-kilat seperti bulan purnama.. Bendahara Seri Maharaja telah menjodohkan anaknya Tun Fatimah dengan Tun Ali, walaupun dinasihatkan oleh Raja Dibaruh agar Tun Fatimah dipersembahkan kepada Sultan Mahmud Syah. Tindakan Bendahara ini telah menimbulkan kemurkaan dan dendam Sultan Mahmud Syah terhadapnya.
Kekayaan Bendahara Seri Maharaja
Bendahara Seri Maharaja adalah orang yang terkaya di Melaka. Beliau memiliki jumlah emas dan binatang ternakan yang banyak dan tiada tandingannya dan dikatakan tidak habis untuk dimakan.
Tun Hassan Temenggung Cuba Dibeli
Ali Manu Nayan cuba merasuah Tun Hassan Temenggung. Namun beliau tidak tunduk kepada sesiapa untuk merasuahkannya.
Punca Mencetuskan Sekejam-Kejam Hukuman
Peristiwa berpunca dari pertelagahan antara Nina Sura Dewana dengan Raja Mendeliar. Pada waktu malamnya, Bendahara Seri Maharaja telah dirasuah sebanyak sepuluh kati emas oleh Nina Sura Dewana agar berpihak kepadanya. Kitul pula memberitahu hal tersebut kepada Raja mendeliar. Seterusnya Raja Mendeliar telah merasuahkan harta yang banyak kepada Laksamana Khoja Hassan supaya menyampaikan fitnah kepada Sultan Mahmud Syah, kononnya Bendahara Seri Maharaja ingin menderhaka dan merampas kerajaan.
Tamat Riwayat Tiga Orang Besar Negara
Laksamana Khoja Hassan menyampaikan fitnah Raja Mendeliar kepada Sultaan Mahmud Syah.Fitnah tersebut mengatakan Bendahara Seri Maharaja ingin merampas kuasa. Sultan Mahmud Syah yang sedia dendam pada Bendahara Seri Maharaja murka lalu menitahkan supaya Bendahara Seri Maharaja dan keluarganya dibunuh kecuali Tun Fatimah. Titah tersebut dilaksanakan oleh Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara. Tun Fatimah kemudiannya diambil oleh Sultan mahmud Syah sebagai isteri.
Sultan Mahmud Syah akhirnya menyesal dan insaf dengan tindakannya membunuh Bendahara Seri Maharaja tanpa usul periksa. Orang yang terlibat dalam fitnah tersebut menerima hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan. Raja Mendeliar menerima hukuman bunuh. Begitu juga dengan Kitul yang dijatuhkan hukuman sula melintang bersama anak isterinya. Manakala Laksamana Khoja Hassan pula telah dilucutkan jawatannya.
Bendahara Paduka Tuan (Bendahara Tepok)
Selepas kematian Bendahara Seri Maharaja, Paduka Tuan (anak Bendahara Paduka Raja) dilantik sebagai Bendahara Melaka bergelar Bendahara Lubuk Batu. Keadaan fizikal Bendahara Tuan ialah cacat anggota badan (kakinya tepok), uzur dan sudah lanjut usianya. Dia mempunyai ramai anak. Walaupun sudah tua, Bendahara Lubuk Batu masih kuat makan. Dia makan nasi pada pinggan lingkar yang besar dan lauknya satu talam penuh. Jika ibu ayam dimakannya seekor habis. Selain itu, Bendahara Lubuk Batu juga gemar memakai bau-bauan sehingga sepasu minyak wangi disapunya pada tubuhnya.
Tun Biajid Sasar
Kisah Tun Biajid anak Bendahara Lubuk Batu yang jahat pekertinya. Dia bertindak tidak senonoh, seperti merampas harta orang jika ia berkenan. Ini menyebabkan Bendahara Lubuk Batu pernah menyuruh Seri Wak Raja menangkap dan mempersembahkan kepada Sultan Mahmud Syah supaya dibunuh. Tetapi Tun Biajid tidak dibunuh, sebaliknya dilepaskan oleh raja.
Zuriat Bendahara Lubuk Batu
Dikisahkan Bendahara Lubuk Batu yang mempunyai ramai anak cucu dan ada diantaranya yang memegang jawatan penting di istana.
Sultan Mahmud Syah Membuang Kerajaan
Sultan Mahmud Syah menyesal dengan tindakannya membunuh Bendahara Seri Maharaja. Justeru itu, baginda meletakkan jawatan dan melantik puteranya Raja Ahmad menggantikannya. Baginda kemudiannya tinggal di Hulu Melaka dan ditemani oleh Sang Sura. Tun Fatimah pula digambarkan tidak pernah senyum selama berkahwin dengan Sultan Mahmud Syah dan bertindak membuang zuriatnya dengan Sultan Mahmud. Hal ini berlaku sehingga Sultan Mahmud berjanji akan melantik anaknya dengan Tun Fatimah sebagai raja.
Sinopsis Sulalatus Salatin Bab XIV
Di Saat Akhir Kesultanan Melayu Melaka
Angkatan Peringgi yang dipimpin Alfonso d’Albuqueque menyerang Melaka. Serangan Peringgi menerima tentang hebat dari angkatan Melaka yang diketuai oleh Sultan Ahmad Syah. Pada waktu malamnya, hulubalang Melaka dibacakan Hikayat Muhammad Hanafiah untuk membangkitkan semangat juang mereka dalam menghadapi serangan Peringgi. Setelah hari siang, pertempuran bersambung dan akhirnya Melaka berjaya ditakluki Peringgi.
Sultan Mahmud, Sultan Ahmad Berlepas Diri
Setelah Melaka ditawan Peringgi, Sultan Mahmud dan puteranya Raja Ahmad lari ke Muar. Sultan Ahmad tinggal di Paguh, manakala Sultan Mahmud tinggal di Batu Hampar. Setelah Paguh ditakluki Peringgi, Sultan Mahmud dan Raja Ahmad lari ke Hulu Muar dan akhirnya lari ke Pahang. Kemudian mereka berangkat pula ke Johor dan membuat negeri di Kota Kara. Oleh kerana Raja Ahmad bersikap angkuh terhadap pembesar yang tua-tua, Raja Ahmad telah dibunuh atas perintah Sultan Mahmud.
Melantik Orang Besar-Besar Kerajaan
Sultan Mahmud Syah membuat negeri di Kopak. Sultan Muzaffar Syah (anakanda) dilantik sebagai raja menggantikan Raja Ahmad. Sultan Muzaffar Syah kemudiannya dikahwinkan dengan Tun Terang anak Tun Fatimah. Seterusnya Sultan Mahmud Syah melantik para pembesar. Antaranya Khoja Ahmad dilantik sebagai Bendahara, Tun Abu Ishak dilantik senbagai Perdana Menteri. Manakala Tun Hamzah pula dilantik sebagai Penghulu Bendahari.
Anak Raja Bakal Kerajaan
Sultan Mahmud Syah memperolehi seorang anak laki-laki hasil perkahwinannya dengan Tun Fatimah. Anak tersebut dinamakan Raja Ali (timang-timangan Raja Kecil Besar). Raja Ali Kemudiannya ditabalkan sebagai raja dengan gelaran Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah yang disebut orang Sultan Muda.
Tun Ali hati Lebih Rela Mati
Semua pengikut bertuankan Sultan Mahmud Syah, kecuali Tun Ali Hati. Akhirnya atas permintaannya sendiri dia rela dibunuh.
Raja Abdullah DiTawan Peringgi
Raja Abdullah adalah putera Raja Kampar, iaitu Raja Menawar (saudara Sultan Mahmud Syah). Baginda cuba berbaik-baik dengan Peringgi (Kapitan Mor) dengan harapan Peringgi akan menyerahkan kembali takhta Melaka kepada baginda. Tetapi hasrat baginda tidak kesampaian apabila baginda ditangkap (melalui tipu helah) dan dibawa ke Goa India.
Angkatan Peringgi Menyerang Bintan
Ketika Peringgi menyerang Bengkalis, Bulang dan Kota Kara, Temenggung dititahkan oleh Sultan Mahmud supaya bersedia untuk menentang Peringgi. Tetapi titah sultan Mahmud tidak diendahkan kerana beliau asyik mengira harta. Setelah Kota Kara jatuh ke tangan Peringgi, Sultan Mahmud lari pula (mudik) ke Lubuk Batu.
Pusaka Dari Temenggung Seri Udani
Dari Kopak, Temenggung Seri Udani ke Kota Kara untuk menentang Peringgi. Tetaoi malangnya, Temenggung Seri Udani mati terbunuh. Sebelum berangkat ke Kota Kara, Temenggung Seri Udani telah mewasiatkan hartanya kepada Sultan Mahmud Syah.
Membalas Kasih Raja
Setelah Kopak jatuh ke tangan Peringgi, Sultan Mahmud dan pengikut-pengikutnya lari ke Kaki Gunung Bintan. Di sini, mereka keputusan bekalan makanan dan hampir kebuluran. Oleh itu Seri Nara Diraja mengarahkan Seri Wak Raja supaya mencari makanan untuk santapan raja. Namun sempat Seri Nara Diraja menyindir Sultan Mahmud Syah yang telah membunuh keluarganya ketika di Melaka. Sindiran ini menyebabkan Sultan Mah,mud Syah merasa kesal dan malu. Seri Wak Raja yang diarahkan mencari makanan bertindak mencuri makanan daripada tiga orang perempuan dan dilarikan untuk santapan Sultan Mahmud Syah dan keluarganya.
Dari Bintan Pindah Ke Kampar
Dari Kopak, Sultan Mahmud berpindah ke Kampar. Tidak lama kemudian, Tun Fatimah meninggal dunia.
Masalah Tiada Mempunyai Putera Lelaki
Sultan Mansur Syah Pahang tiada anak laki-laki. Baginda hanya dikurniakan dua orang anak perempuan, iaitu Raja Puspa Dewi dan Raja Kesuma Dewi. Baginda telah mengahwinkan saudara dua pupunya dengan Raja Muhammad (Raja Terengganu), memperolehi Raja Ahmad. Sultan Mansur Syah kemudiannya telah mengambil Raja Ahmad sebagai anak angkat dan dikahwinkan dengan puteri baginda, Raja Puspa Dewi. Mereka memperolehi seorang anak laki-laki dinamakan Raja Omar.
Sinopsis Sulalatus Salatin Bab XV
Sultan Mahmud Mangkat Di Kampar
Sebelum mangkat, Sultan Mahmud berwasiat kepada Bendahara dan segala Orang Besar-besar agar menjaga anakandanya Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah. Baginda juga berwasiat kepada anakandanya agar sentiasa bermuafakat dengan Bendahara dan segala menteri, adil dalam pemerintahan dan menjaga kebajikan rakyat. Selepas ditabalkan sebagai raja, Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah meninggalkan Kampar dan beranglkat ke Pahang.
Bertapak Semula Di Bumi Semenanjung
Sultan Alau’d-Din (anak Sultan Mahmud mangkat di Kampar) disambut dengan penuh adat istiadat di Pahang. Kemudian Sultan Alau’d-Din berkahwin dengan Raja Kesuma Dewi anak Sultan Mansur Syah dan akhirnya Sultan Alau’d-Din membawa isterinya ke Johor.
Berbuat Negeri Di Kuala Johor
Sultan Alau’d-Din menitahkan Bendahara dan Seri Nara Diraja membersihkan kawasan di Kuala Johor untuk dibuat negeri. Baginda dikurniakan dua orang anak, iaitu Raja Muzaffar dan Raja Fatimah. Apabila diketahui oleh Sultan Mansur Syah Pahang, Sultan Alau’d-Din memperolehi anak perempuan, baginda berhasrat untuk menjodohkan Raja Fatimah dengan cucunya Raja Omar.
Surat Meminang Dari Pahang
Seri Akar Diraja dan Seri Nara Wangsa diutuskan ke Johor oleh Sultan Mansur meminang Raja Fatimah untuk dijodohkan dengan Raja Omar. Setelah berbincang dengan Bendahara, hasrat Sultan Mansur Pahang diperkenankan oleh Sultan Alau’d-Din dan menerima peminangan tersebut.
Hasrat Sultan Pahang Tercapai
Sultan Mansur Syah Pahang gembira menerima utusan daripada Sultan Alau’d-Din Johor yang meminta agar menghantar cucunda baginda Raja Omar ke Johor. Baginda kemudiannya melaksanakan permintaan Raja Johor. Kehadiran Raja Omar ke Johor disambut dengan penuh kemeriahan. Sultan Alau’d-Din kemudiannya telah menganugerahkan sebuah istana kepada Sultan Pahang sebagai tempat bersemayam bersama cucunda baginda Raja Omar.
Istiadat Perkahwinan Diraja Johor-Pahang
Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah mengahwinkan anakanda baginda Raja Fatimah dengan Raja Omar Pahang. Majlis perkahwinan berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan yang berlangsung selama empat puluh hari empat puluh malam.
Selepas Mangkat Sultan Alau’d-Din
Selepas Sultan Alau’d-Din mangkat, Sultan Muzaffar Syah (anakanda) dilantik sebagai pengganti. Baginda telah membina negeri di Seluyud. Diceritakan pula tentang Raja Omar telah menceraikan isterinya di Pahang (bonda Raja Mangsur), yang hanya diketahui oleh Seri Nara Diraja.
Nikah Dalam Sunyi
Sultan Muzaffar terpikat kepada bonda Raja Mangsur, janda Raja Omar. Kemudian mereka berkahwin secara senyap-senyap dan memperolehi seorang anak laki-laki dinamakan Raja Abdullah. Manakala Raja Omar yang berkahwin dengan Raja Fatimah pula dikurniakan seorang anak laki-laki dinamakan Raja Abdul Jalil.
Wasiat Sultan Muzaffar Syah
Sultan Muzaffar Syah telah mewasiatkan kepada Bendahara dan para pembesar agar melantik Sultan Abdul Jalil (anakanda) sebagai sultan bergelar Sultan Abdul Jalil Syah.
Wasiat Sultan Abdul Jalil DiKetepikan
Ketika gering, Sultan Abdul Jalil mewasiatkan kepada ayahanda dan bondanya (Raja Omar dan Raja Fatimah) agar melantik anakandanya Raja Abdullah sebagai raja selepas baginda mangkat kelak. Tetapi wasiat tersebut tidak dipenuhi kerana tidak dipersetujui oleh Raja Fatimah. Sebaliknya Raja Omar dilantik menjadi raja bergelar Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Ri’ayat Syah.
Tun Seri Lanang Jadi Bendahara
Setelah Bendahara Paduka Raja mati, Tun Seri lanang dilantik sebagai Bendahara bergelar Paduka Raja. Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Syah terpaksa berpindah dari satu tempat ke satu tempat kerana diancam serangan Peringgi. Dari Seluyud baginda berpindah ke Tanah Putih. Kemudian berpindah pula ke Hulu Sungai Damar dan membuka negeri Makam Tauhid. Setelah Ala Jalla Abdul Jalil mangkat, Raja Mangsur dilantik sebagai raja dengan gelaran Sultan Alau’d-Din Ri’ayat Syah, tetapi tampuk pemerintahan dipegang oleh Raja Abdullah.
Pengisian yang bermanfaat dan menarik
ReplyDeleteSinopsis bab yg ringkas dan padat dengan ilmu. Terima kasih
ReplyDeletesesuai utk sy menduduki peperiksaan yg akan dtg. terima kasih!
ReplyDeleteSinopsis yang ringkas dan berisi
ReplyDeletePenceritaan yang ringkas tetapi padat dengan peristiwa penting...memudahkan untuk saya memahami dengan lebih baik..terima kasih!!..
ReplyDeleteNice, sangat bagus ringkasan cerita dalam blog ni kerana ia telah banyak membantu saya untuk lebih memahami cerita tersebut dengan lebih detail lagi..terima kasih Penulis Blog..😊
ReplyDeleteAlhamdulillah cerita yang menarik untuk dibaca.
ReplyDeleteSatu perkongsian yang baik dan berguna, diharapkan dapat menjadi rujukan kepada para guru mahupun pelajar.
ReplyDeleteTak payah beli buku, info ni berguna untuk pembacaan maya
ReplyDeletebahan yang sangat jelas sehingga dapat menarik minat saya untuk mengetahui tentang sastera sejarah. saya dapat memahami kisah salalatus salatin setelah membaca kisah ini.
ReplyDeletePengkongsian yang amat bermakna untuk kita semua khususnya bagi pelajar yg mengambil mata pelajaran sastera dan subjek lain amnya
ReplyDeleteIsinya bermaafaat, boleh untuk anda yang minat pembaca sastera dan isinya boleh buat ke rujukkannya
ReplyDeleteSinopsis yang ringkas dan padat.dapat membantu khalayak memahami cerita dengan lebih baik.
ReplyDeleteSatu perkongsian untuk menyebar luaskan ilmu kesusasteraan melayu
ReplyDeleteInsyaallah dapat menarik minat golongan pelapis pelajar
ReplyDeletemaklumat mudah difahami. terima kasih untuk perkongsian
ReplyDeleteSedangkan mencapai sumpah semerluki satelah tewas dilaut kepada dah terluka jenawi bertumit
ReplyDelete