Tuesday, 1 May 2018

SENARAI VERSI SEJARAH MELAYU

Sastera sejarah terdiri daripada bentuk cerita, prosa dan puisi. Di antara beberapa contoh teks sastera sejarah ialah Sejarah Melayu (1996), Tuhfat Al Nafis (1982), Hikayat Siak (1992), Hikayat Merong Mahawangsa (1991), Hikayat Raja Pasai (1987), dan Hikayat Melayu (1998). Hikayat Melayu menyusurgalurkan keturunan raja-raja Melayu sehingga berkesinambungan kepada keturunan raja Siak dan teks Hikayat Melayu juga sarat dengan unsur sastera yang bercampur gaul dengan unsur sejarah Siak. Sebagai sebuah teks sastera sejarah, Hikayat Melayu juga mempunyai tujuan yang tertentu mengapa ia ditulis. Pada bahagian mukadimahnya tidak ada langsung petikan yang menunjukkan teks itu ditulis untuk “tujuan menyukakan rajanya” ataupun “supaya diketahui oleh anak cucu yang terkemudian” melainkan hanyalah disebut oleh pengarang, seperti contoh petikan berikut, “Inilah ceritera Raja Iskandar Zulkarnain tertulis di dalam negeri Betawi kepada 24 Julai tahun 1893” (Hikayat Melayu. 1998: 1). 
    
  Walau bagaimanapun, petikan di atas menunjukkan hasrat sebenar pengarang iaitu untuk menceritakan atau menyusurgalurkan keturunan Raja Iskandar Zulkarnain. Teks ini juga memaparkan dengan jelas tarikh dan tempat, bila dan di mana teks Hikayat Melayu ini ditulis. Ia bersesuaian dengan ciri-ciri teks sastera sejarah itu sendiri yang dilihat telah melepasi tahap genre sastera sebelumnya yang kebanyakannya tidak memaparkan siapa pengarang, bila dan di mana ia ditulis.

    Pengarang teks Sejarah Melayu (1996) ialah Tun Seri Lanang. Manakala teks Tuhfat Al Nafis (1982) dikarang oleh Raja Ali Haji, dan Hikayat Merong Mahawangsa (1991) dikatakan telah disalin oleh Muhammad Yusuf bin Nasruddin Pulau Pinang pada tahun 1898 (Siti Hawa Salleh, 1997: 59). Silsilah Raja-raja Melayu dan Bugis ditulis oleh Raja Ali Haji, dan Hikayat Melayu (1998) ditulis oleh Tengku Said manakala penyalinnya ialah Muhammad Nuruddin Aceh. Sebagai sebuah teks sastera sejarah, teks Hikayat Melayu (1998) memperlihatkan gaya penulisan sastera di bahagian awal penceritaannya dengan kemasukan unsur sastera seperti mitos dan legenda. 

    Unsur seperti ini amat jelas dilihat pada halaman satu (1) hingga halaman empat ratus dua (402). Halaman seterusnya memperlihatkan masih ada unsur-unsur ini bergabung jalin dengan kehidupan realiti sebenar masyarakat pada masa itu tetapi dilihat sudah berkurangan kerana lebih memaparkan keadaan sebenar zaman pemerintahan keturunan Raja Kecil Siak. Bahagian seterusnya lebih banyak berkisar mengenai kemasukan penjajah dan dapat dilihat bagaimana pengarangnya lebih banyak memaparkan cerita yang bersifat realistik. Berkemungkinan besar, dunia kehidupan pengarang dengan zaman pemerintahan keturunan Raja Kecil Siak amat hampir dengannya atau pengarang sendiri berada pada zaman itu menyebabkan pengarang lebih berfokus kepada aspek realistik atau realiti sebenar pada zaman itu. 

    Sebagai sebuah teks sastera sejarah, Hikayat Melayu (1998) ini mempunyai gaya bahasa sastera yang baik. Teks ini menggunakan bahasa Melayu persuratan yang mudah difahami. Secara keseluruhannya, gaya bahasa yang digunakan dalam penulisan teks ini ialah bahasa Melayu klasik yang biasa digunakan dalam penulisan teks sastera sejarah. Hikayat Melayu ini dikarang pada tahun 1855, kira-kira enam tahun setelah Raja Akil mangkat (1849) iaitu abad ke-19. Hikayat Melayu ditulis atas perintah (Tuan Fandarwola) atau Von de Wall (penolong Residen di Sukadana pada masa itu). Contohnya: Dan yang menyurat Sejarah Melayu ini, Tengku Said; disuruh Tuan Fandarwola, Esti Residen Komisi di dalam Sikudana, kepada tarikh 1272, kepada dua puluh tiga dari bulan Safar, hari Ahad, bermula menyuratnya, adanya. Dan sudahnya kepada delapan hari bulan Rabiulakhir, hari Isnin tamatnya (hlm. 647).

     Berdasarkan petikan di atas, Hikayat Melayu telah disalin oleh Muhammad Nuruddin Aceh pada “sebelas bulan Zulhijah kepada hari sabtu, tamat pada Sanat 1310, Betawi” (Hikayat Melayu, 1998: 647). Tengku Said sebagai penyurat Hikayat Melayu ini telah disebut oleh Muhamad Nuruddin Aceh di bahagian kolofon. Petikan ini juga menyebut teks ini sebagai “Sejarah Melayu”. Lazimnya, teks sastera sejarah ditulis atas perintah raja atau pemerintah, tetapi Hikayat Melayu ditulis atas perintah penjajah. Walaupun begitu ia masih mengekalkan tradisi mengangkat golongan pemerintah. Hikayat Melayu (1998) yang diselenggarakan dan diberikan judul oleh Muhammad Yusoff Hashim merujuk pada versi keenam iaitu sebuah versi teks Sejarah Melayu dari versi panjang. Walaupun dikatakan Hikayat Melayu mengambil sumber dari Sejarah Melayu, perlu dilihat juga teks Hikayat Melayu ini turut dijadikan sumber kepada kewujudan teks sastera sejarah yang lain. Virginia Matheson (1986: 495) misalnya telah dapat mengesan sumber-sumber bertulis yang digunakan oleh Raja Ali Haji dalam penulisan Tuhfat Al-Nafis. Antaranya ialah Sejarah Siak yang dirujuk sebagai Cod. Or. 7304 (sn.H.78) yang berjudul (Sejarah Raja-raja Melayu), Von De Wall 191 berjudul (Sejarah Raja-raja Melayu) dan Cod. Or. 6342 (Sejarah Raja-raja Melayu). Menurut Roolvink (1970: xiii) yang dipetik oleh Muhammad Yusoff Hashim (1992: 495) mengatakan ada pihak yang gemar memanggil teks di atas sebagai Hikayat Raja Akil atau Hikayat Siak


No comments:

Post a Comment