Thursday, 31 May 2018

KONSEP KEINDAHAN, GAYA BAHASA DAN PERSONIFIKASI DALAM KONTEKS MAKNA LUARAN.

KONSEP KEINDAHAN, GAYA BAHASA DAN PERSONIFIKASI DALAM KONTEKS MAKNA LUARAN.

Sulalatus Salatin mempunyai pelbagai gaya bahasa yang seiring dengan tarafnya sebagai sebuah karya agung Melayu klasik. Karya agung ini merangkumi dua aspek makna, iaitu makna dalaman dan makna luaran. Makna yang menjadi fokus utama dalam perbincangan ini ialah makna luaran. Makna luaran merupakan makna yang disepakati oleh pembaca termasuk gaya bahasa. Gaya bahasa yang ingin diketengahkan ialah gaya bahasa personifikasi. Oleh itu, penting untuk mengetahui konsep keindahan, gaya bahasa dan personifikasi sebelum dikaitkan dengan penggunaannya di dalam karya Sulalatus Salatin tersebut agar dapat diketahui makna luarannya.


1.1 KEINDAHAN MELAYU KLASIK

Istilah keindahan merupakan salah satu istilah pokok dalam sistem estetika kesusasteraan Melayu. Konsep keindahan dalam tradisi dan budaya Melayu menurut V.I. Braginsky (1994:16), beliau merumuskan bahawa terdapat tiga aspek yang dinyatakan dalam karya-karya sastera menerusi penggantian perkataan ‘indah’ dengan kata-kata yang seerti. Menurutnya, keindahan sesuatu karya sastera dipercayai boleh mempengaruhi jiwa seseorang, mempunyai kuasa penyembuh dan manfaat yang terkandung di dalamnya. Keindahannya karya Melayu klasik ini terletak pada tema, persoalan, watak dan perwatakan, plot, gaya bahasa, latar masyarakat serta nilai dan pengajaran .


1.2 GAYA BAHASA.

Maksud gaya dalam bidang penghasilan karya bertulis ialah corak, bentuk, rupa atau pengetahuan tentang penggunaan kata-kata dan penyusunan ayat. Gaya juga merupakan satu cara menulis atau bercakap. Menurut Nik Safiah Karim (1981), bahasa dapat didefinisikan sebagai lambang-lambang pertuturan yang arbitrari, bersistem dan digunakan oleh masyarakat untuk berkomunikasi. Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), bahasa adalah sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dengan individu yang lain).

   Gaya bahasa merupakan cara penyampaian para intelektual meluahkan buah fikiran mereka mengikut pengetahuan penggunaan kata-kata dan penyusunan ayat untuk menimbulkan seni dalam hasil karya kesusasteraan, secara tidak langsung akan dapat memikat dan seterusnya menarik minat pembaca terhadap karya-karya sastera. Gaya bahasa juga adalah bertujuan untuk melembutkan lagi makna percakapan dan juga untuk mengindahkan lagi bahasa itu. Menurut Gory Keraf, (1985:113) gaya bahasa adalah cara mengungkapkan fikiran melalui bahasa secara khas yang memperlihatkan jiwa dan keperibadian penulis (pemakai bahasa). Sesebuah gaya bahasa yang baik harus mengandungi tiga unsur penting seperti kejujuran, sopan-santun dan menarik. Gaya bahasa adalah pemakaian kata-kata kiasan dan perbandingan bagi menggambarkan sesuatu maksud. Pelbagai gaya bahasa dapat dilihat melalui sesuatu bahasa.

     Secara keseluruhan, gaya bahasa adalah satu corak, bentuk kata-kata dan penyusunan kalimat yang digunakan sewaktu berhubung di antara satu sama lain sama ada secara lisan mahupun tulisan. Pada umumnya, terdapat empat jenis gaya bahasa iaitu gaya bahasa perbandingan, gaya bahasa sindiran, gaya bahasa penegasan dan gaya bahasa pertentangan. Namun begitu, dalam penulisan ini, kajian memfokuskan hanya kepada gaya bahasa perbandingan dan melihat kepada skop yang lebih kecil lagi iaitu personifikasi yang terdapat dalam karya Sulalatus Salatin.


1.3 PERSONAFIKASI.

Personifikasi dikenal juga sebagai pengorangan atau penginsanan. Maksud personifikasi ialah tindakan pengarang memberikan sifat manusia, sama ada dari segi perasaan, perwatakan, atau tindak-tanduk kepada benda-benda mati, binatang, idea, atau hal-hal yang lebih abstrak. Personifikasi adalah memberi watak manusia kepada yang bukan manusia. Misalnya, daun kelapa yang disifatkan sebagai manusia yang boleh melambai, menggamit, bersiul dan sebagainya. Lalu ditulis sebagai “daun nyiur melambai-lambai”, “ daun kelapa menggamit manja” dan sebagainya.

     Oleh itu, terdapat banyak gaya bahasa yang ada dalam karya Sulalatus Salatin yang dikarang semula dalam versi yang lain oleh beberapa orang tokoh seperti A. Samad Ahmad dan Muhammad Haji Salleh. Antaranya ialah gaya bahasa personifikasi dalam karya Sulalatus Salatin. 


KEINDAHAN GAYA BAHASA PERSONIFIKASI DALAM SULALATUS SALATIN.

Tun Seri Lanang menganugerahkan generasi moden kini dengan sejumlah kata, baris dan citra, yang kekal dalam bahasa Melayu yang diwarisi dari Sulalatus Salatin. Kata dan frasa yang tepat serta dapat menyampaikan maknanya ini pasti diciptakan berkat daripada bakatnya dan dijelmakan dalam adunan situasi yang memerlukan pemikiran yang tinggi bagi memahami makna yang ingin disampaikan termasuk makna luaran. Oleh itu, keindahan gaya bahasa personifikasi telah menyerlahkan identiti Sulalatus Salatin sebagai sebuah karya Melayu klasik yang mempunyai nilai estetika tersendiri.

     Dalam karya Sulalatus Salatin, terdapat banyak penggunaan gaya bahasa personifikasi bagi menggambarkan sesuatu perkara yang berkaitan dengan suasana, pemerintah atau raja-raja Melayu, pembinaan sesuatu kerajaan, perutusan dari satu pihak kepada pihak yang lain dan sebagainya lagi. Perkara-perkara ini telah menggunakan sifat yang ada pada manusia dan dikaitkan pada unsur-unsur alam seperti haiwan, pasir, angin, pokok dan lain-lain. Penggunaan unsur-unsur ini bagi menggambarkan keindahan makna sesuatu perkara supaya dapat difahami oleh pembaca. Antara contoh-contoh penggunaan gaya bahasa personifikasi dalam karya ini adalah seperti berikut:


"Sekira-kira empat keruh bumi jauhnya berjalan maka bertemulah dengan ra’yat Raja Chulan lalu berparang, tiada sangka bunyinya lagi, bunyi segala yang bergajah berjuangkan gajahnya dan segala yang berkuda bergigitkan kudanya dan segala yang memegang panah berpetikkan panahnya dan segala (yang) memegang lembing bertikamkan lembingnya dan segala yang (memegang) tombak bertikamkan tombaknya, dan segala yang memegang pedang bertetakan pedangnya."
(Muhammad Haji Salleh, 1997: 13)

No comments:

Post a Comment